Keputusan Kerajaan dalam membenarkan pemberi khidmat gunting rambut untuk beroperasi sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencetuskan pelbagai reaksi.

Ada yang menyokong, ada yang menentangnya.

Namun, hasil undian atas talian yang dilakukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi aplikasi Telegram mendapati majoriti rakyat Malaysia menolak cadangan itu.

Ia apabila sejumlah 88 peratus menyatakan bahawa mereka tidak akan menggunakan perkhidmatan kedai gunting rambut sekiranya dibuka semasa tempoh PKP.

Manakala hanya 12 peratus sahaja yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan gunting rambut sewaktu PKP.

Keputusan itu dibuat oleh 240,655 responden sehingga 6.30 petang Ahad, yang mengikuti saluran Telegram MKN.

Keputusan itu dibuat oleh 240,655 responden sehingga 6.30 petang Ahad, yang mengikuti saluran Telegram MKN.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperhalusi keputusan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April 2020.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau sedar mengenai kebimbangan rakyat berhubung perkara itu yang banyak dibincangkan di platform media sosial termasuk isu kewujudan kluster gunting rambut seperti di luar negara.