9,800 anggota, 7,000 aset pelbagai agensi diatur gerak bantu kawasan banjir

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Program Eksplorasi TVET Komuniti di Kolej Komuniti Tawau hari ini. - Foto Bernama
TAWAU: Sebanyak 9,800 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan bersama 7,000 aset operasi telah diatur gerak di seluruh negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.
Ringkasan AI
- 9,800 anggota agensi kerajaan bersama 7,000 aset operasi bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir di seluruh negara.
- Kerajaan menyediakan jambatan bailey dan 9,058 pusat pemindahan sementara untuk menangani banjir; menggesa agensi memperkukuh kesiapsiagaan.
- Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menasihati 1.7 juta pengundi di Sabah mengundi seawal pagi bagi mengelak kemungkinan hujan; dua kejadian cerun runtuh dilaporkan di Kota Kinabalu.
"Kita juga sedang memobilisasikan jambatan bailey ini dengan menambah jumlahnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksplorasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Komuniti di Kolej Komuniti Tawau di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata kerajaan telah menyediakan 9,058 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung hingga 2.189 juta mangsa banjir.
"Kita harus bersiap siaga kerana di Vietnam dan Filipina mengalami luruan hujan sangat luar biasa, jadi di utara Semenanjung dan di pantai timur kawasan-kawasan dahulunya yang tidak berlaku banjir, kini banjir termasuk di Bagan Datuk.
"Bagan Datuk terdapat empat PPS dibuka, selama berpuluh-puluh tahun kawasan ini tidak banjir, tetapi di rumah, kampung saya juga dinaiki air," katanya.
Beliau turut mengarahkan semua agensi terlibat memperkukuh kesiapsiagaan memandangkan statistik semasa menunjukkan 188 PPS telah dibuka di seluruh negara yang menempatkan kira-kira 22,000 mangsa banjir.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menasihatkan 1.7 juta pengundi di Sabah yang akan mengundi pada Sabtu ini supaya keluar seawal pagi bagi mengelak sebarang kemungkinan hujan.
Terdahulu, pada pagi ini jurucakap Jabatan Kerja Raya Sabah memaklumkan bahawa dua kejadian cerun runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Bukit Bendera Upper, Kota Kinabalu, iaitu di kilometer 0.850 berhampiran Bayshore Condominium dan kilometer 2.550, akibat hujan lebat berterusan.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


