MALAYSIA
9 kapal Freedom Flotilla hampiri 'zon merah', 48 jam kritikal misi ke Gaza
Kamarul Zaman (tengah) berkata, kesemua kapal yang bergerak pada kelajuan 4 knot telah memasuki kawasan 200 batu nautika dari perairan Gaza yang digelar zon kuning.
KUALA LUMPUR: Sembilan kapal misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dijangka memasuki 'zon merah' yang sangat berisiko dipintas tentera Israel, dalam masa 48 jam.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kesemua kapal yang bergerak pada kelajuan 4 knot telah memasuki kawasan 200 batu nautika dari perairan Gaza yang digelar 'zon kuning'.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, tempoh 48 jam akan datang amat kritikal dan kemungkinan serangan oleh rejim zionis Israel berlaku pada waktu malam.
“Jika ikut kelajuan sekarang,,, dalam masa 24 jam, jarak perjalanan sekitar 100 nautika. Kapal sekarang dekat 200 batu nautika... kalau ikut perkiraan, masuk 48 jam adalah sangat kritikal.
“Dalam tempoh 24 jam kedua nak masuk zon merah... kita percaya kebiasannya taktik serangan (tentera Israel) berlaku pada sebelah malam,” katanya semasa sesi taklimat khas FFC di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Zon merah adalah kawasan berisiko tinggi yang terletak berhampiran perairan Gaza, iaitu kawasan yang dikawal ketat oleh rejim Zionis.
Kawasan itu merupakan titik kritikal di Laut Mediterranean di mana kapal-kapal bantuan kemanusiaan berpotensi berdepan sekatan, intimidasi atau serangan oleh tentera laut Israel.
Sebelum memasuki zon merah, flotilla perlu melalui zon kuning, iaitu kawasan berjaga-jaga sejauh kira-kira 300 batu nautika dari pesisir Gaza, yang menandakan permulaan risiko keselamatan meningkat.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, kapal Conscience yang sebelum ini berhenti, mula bergerak pada jam 9.30 pagi tadi waktu Malaysia, dan lapan kapal yang lain bergerak pada jam 1 pagi.
“Mereka sebelum ini telah berhenti selama 30 jam untuk latihan dan menunggu kapal-kapal kecil yang lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, ketua delegasi Malaysia di atas kapal Conscience, Prof Mohd Alauddin Mohd Ali, melaporkan kesemua delegasi kapal sebulat suara untuk bertemu di kawasan sekitar 150 batu nautika dari Gaza.
Alauddin juga tidak menolak kemungkinan delegasi FFC berhadapan dengan penahanan rejim Zionis Israel.
Beliau turut menyampaikan pesan Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hassan, yang turut menyertai misi berkenaan.
"Dr Fauziah berpesan agar dunia terus memberi perhatian kepada Israel. Semua lapisan masyarakat harus bangkit memberi tekanan kepada Israel serta sekutunya untuk berhenti melakukan perkara yang menambah kesengsaraan rakyat Palestin khususnya di Gaza,” katanya.
Katanya, Dr Fauziah juga berharap agar satu himpunan protes diadakan di Malaysia jika serangan dilakukan oleh Israel sehingga semua delegasi FFC dibebaskan.
Kapal Conscience turut membawa 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.
Lapan wakil Malaysia dalam kapal itu yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept termasuk Mohd Alauddin dan Dr Fauziah selain Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah Prof Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro AWANI Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi doktor, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 Sept bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Untuk rekod, misi flotilla terdahulu pernah dipintas tentera Israel termasuk kapal Zaytouna (2016), Al-Awda (2018), Conscience, Handala dan Madleen (2024), yang menyaksikan penahanan sukarelawan serta tokoh antarabangsa dari lebih 40 negara.