MALAYSIA
90 peratus KRT seluruh negara kekal aktif - KP JPNIN
Che Roslan berkata peratusan KRT aktif itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya. - Foto fail
MACHANG: Sebanyak 90 peratus daripada 8,586 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara kekal aktif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, mencerminkan komitmen tinggi rakyat terhadap perpaduan dan pembangunan komuniti setempat.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Che Roslan Che Daud berkata peratusan KRT aktif itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya, hasil kesedaran serta inisiatif penduduk tempatan dalam menggerakkan aktiviti yang memperkukuh semangat kejiranan.
"Setiap KRT menerima peruntukan RM6,000 setahun bagi tujuan pengoperasian dan pentadbiran serta perlu melaksanakan sekurang-kurangnya lapan aktiviti untuk dikategorikan sebagai aktif, sekali gus memupuk perpaduan dan menjana ekonomi komuniti," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Pertandingan Akhir Gilap Bakat Belia Dikir Barat Perpaduan sempena Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga peringkat negeri Kelantan di Kompleks Perpaduan Machang, malam tadi.
Menurut beliau sekitar 10 peratus daripada KRT di seluruh negara masih belum aktif, namun jumlah itu menunjukkan trend penurunan.
Mengulas lanjut, Che Roslan berkata JPNIN tidak menghentikan serta-merta bantuan kepada KRT yang tidak aktif, sebaliknya memberi ruang untuk proses pemulihan terlebih dahulu, dan hanya akan digugurkan daripada senarai penerima dana sekiranya tiada perubahan positif ditunjukkan.
Che Roslan turut menggalakkan KRT memohon dana tambahan melalui pelaksanaan projek ekonomi seperti pertanian, penghasilan produk makanan, dan pelbagai inisiatif keusahawanan komuniti.
"Dengan bantuan ini, kita dapati banyak KRT mengambil peluang untuk memajukan ekonomi setempat, misalnya menerusi penghasilan sos cili atau projek penanaman cili, yang sekali gus memperkasakan komuniti," katanya.
Menjelang sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga peringkat kebangsaan pada 28 dan 29 Ogos ini, pelbagai program sedang digerakkan oleh KRT seluruh negara termasuk pertandingan seni dan warisan tempatan.
"Sebagai contoh, di Kelantan kita adakan pertandingan dikir barat yang bukan sahaja mencungkil bakat belia, malah turut memelihara seni warisan budaya tempatan," katanya.
Sambutan Jubli Emas akan dimulakan di KRT Kasipillay dan diteruskan ke Galaxy Hall, Sentul, Kuala Lumpur, melibatkan 16 KRT yang telah mencapai usia 50 tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan serta ketahanan institusi perpaduan di peringkat akar umbi.
-- BERNAMA