GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

92 peratus kenderaan perdagangan belum sahkan penggunaan SLD

Bernama 03/10/2025 | 22:20 MYT
Muhammad Kifli berkata, sejak penguatkuasaan penggunaan SLD pada 1 Okt, sebanyak 8,130 kenderaan perdagangan disahkan menggunakan SLD melibatkan 513 bas ekspres, bas persiaran (290) dan kenderaan barangan (7,227). - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 92 peratus kenderaan perdagangan masih belum membuat pengesahan pemasangan Peranti Had Kelajuan (SLD) setakat ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sejak penguatkuasaan penggunaan SLD pada 1 Okt, sebanyak 8,130 kenderaan perdagangan disahkan menggunakan SLD melibatkan 513 bas ekspres, bas persiaran (290) dan kenderaan barangan (7,227).

"Daripada jumlah keseluruhan 108,805 kenderaan yang perlu diperiksa dalam fasa pertama penguatkuasaan penggunaan SLD, terdapat 2,015 bas ekspres, 5,951 bas persiaran dan 92,709 kenderaan barangan belum membuat pengesahan SLD.

"Dalam tempoh tiga hari pertama penguatkuasaan, sebanyak 2,180 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 385 melibatkan 144 bas ekspres dan 221 kenderaan barangan dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan slip pengesahan kefungsian SLD," katanya dalam sidang media di Stesen Penguatkuasaan Gombak, di sini, pada Jumaat.

Muhammad Kifli berkata, penguatkuasaan penggunaan SLD melibatkan kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Jan 2015 bagi bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) manakala bagi kenderaan barangan ialah dengan BDM melebihi 3,500 kg.

"JPJ mengingatkan bahawa semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD hendaklah disahkan badan yang diiktiraf JPJ melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.

"Pihak yang dibenarkan untuk mengeluarkan dokumen ini ialah pengilang dan pengeluar kenderaan, Technical Service (TS diiktiraf JPJ, bengkel atau fasiliti servis atau Badan Pensijilan Bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) yang diiktiraf JPJ," katanya.

Beliau berkata, slip pengesahan berkenaan wajib dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer atau urusan pembaharuan permit dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat atau Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan.

"Selain itu, slip berkenaan perlu disimpan di dalam kenderaan serta diperbaharu setiap dua tahun.

"Tiada kompromi diberikan selepas tarikh penguatkuasaan sepenuhnya. Notis 114 (panggilan temu siasat) akan dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini," katanya.

-- BERNAMA



#peranti had kelajuan #SLD #kenderaan perdagangan #Jabatan Pengangkutan Jalan