MALAYSIA

93 ditahan ingkar arahan PKP

Madiha Abdullah 19/09/2020 | 08:25 MYT
Ismail Sabri berkata, antara kesalahan yang masih dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti kelab malam. - Foto BERNAMA
Seramai 93 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 85 dikenakan tahanan reman, manakala lapan lagi dikenakan kompaun.
Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (33), tidak menjaga penjarakan fizikal (32) dan melakukan aktiviti dalam pub atau kelab malam (14).
"Setakat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 56,557 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam satu kenyataan harian berkaitan perkembangan COVID-19.
Sementara itu, pihak berkuasa juga menahan 65 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tekong dan seorang penyeludup menerusi Ops Benteng.
Turut dirampas ialah 14 buah kenderaan darat.
Beliau turut memaklumkan, setakat 18 September, seramai 30,717 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 78 premis bagi tujuan kuarantin.
Daripada jumlah itu juga, seramai 9,753 individu sedang menjalani proses uarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.
#COVID-19 #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #koronavirus #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKP #PKPP #Polis Diraja Malaysia #SOP