Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

935 pertubuhan belia telah pinda perlembagaan ikut had umur 30 tahun - Hannah

Bernama 27/08/2025 | 08:02 MYT
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 935 daripada 8,189 pertubuhan belia yang berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah mengambil langkah awal meminda perlembagaan masing-masing bagi menetapkan had umur belia kepada 30 tahun setakat 25 Ogos lepas.


Ringkasan AI
  • Had umur belia ditetapkan kepada bawah 30 tahun mulai 1 Januari 2026, selaras pindaan Akta 668.
  • Setakat 25 Ogos, 935 daripada 8,189 pertubuhan belia berdaftar dengan ROY telah mula meminda perlembagaan masing-masing.
  • Pindaan ini hanya terpakai kepada pertubuhan belia di bawah ROY, bukan yang berdaftar dengan ROS.


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata langkah itu selaras pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang mewajibkan semua pertubuhan belia di bawah ROY mematuhi ketetapan had umur berkenaan apabila pindaan itu berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026.

"Pindaan kepada Akta 668 ini menetapkan had umur belia daripada 40 tahun kepada sebelum mencapai umur 30 tahun dan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia Bilangan 1 Tahun 2023 serta diumumkan dalam Sidang Media Majlis Perundingan Belia Negara pada tahun sama.

"Pindaan ini hanya melibatkan pertubuhan belia yang berdaftar dengan ROY, manakala pertubuhan lain yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak terkesan dan masih boleh meneruskan pendaftaran serta aktiviti masing-masing," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu dapatan daripada Sesi Libat Urus Pelan Transisi Kepimpinan Belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang meneruskan penguatkuasaan had umur belia di bawah 30 tahun mulai tahun hadapan.

Hannah berkata pindaan itu selaras piawaian antarabangsa yang memperuntukkan had umur belia bermula dari 15 hingga sebelum 30 tahun, serta menegaskan keputusan itu adalah muktamad selepas diluluskan pada 2019, meskipun pelaksanaannya telah ditangguh beberapa kali hingga 2026 bagi memberi ruang peralihan.

Beliau berkata KBS serta agensi berkaitan telah melaksanakan pelbagai program advokasi, konsultasi dan pembangunan kapasiti bagi membantu pertubuhan belia melaksanakan peralihan had umur berkenaan.

Menjawab cadangan agar had umur dinaikkan semula ke 35 atau 40 tahun oleh Abdul Halim dalam soalan tambahan, Hannah berkata semua pihak perlu menghormati keputusan Parlimen dan tidak sewenang-wenangnya mengubah dasar yang telah diputuskan secara sah.

"Kalau undang-undang boleh dipinda sesuka hati kerana tekanan luar, maka proses perundangan kita tidak dihormati. Kalau 18 tahun sudah boleh mengundi dan bertanding pilihan raya, maka 28 atau 30 tahun juga sudah matang untuk memimpin," katanya.

Beliau berkata perubahan ini mencerminkan keperluan untuk menyesuaikan dasar belia negara dengan realiti semasa, termasuk kaedah jaringan sosial dan penglibatan generasi muda masa kini yang banyak berlaku secara dalam talian.

"Jika kita terus kekal dengan pendekatan lama dan tidak memberi ruang kepada belia sebenar, maka dasar belia negara akan dianggap gagal," katanya.

Hannah turut memberi jaminan bahawa negeri-negeri masih mempunyai autonomi untuk menetapkan dasar belia masing-masing, termasuk jika ingin memberikan sokongan kepada belia berumur lebih 30 tahun, namun pindaan Akta 668 kekal terpakai untuk ROY sahaja.

-- BERNAMA



#pertubuhan belia #pinda perlembagaan #had umur #Hannah Yeoh #Dewan Negara