Skip to main content

Malaysia

93,555 individu miliki rumah pertama menerusi SJKP setakat ini - KPKT

41763845543_NgaKorMing.jpg
Nga berkata kerajaan menyediakan RM40 bilion bagi pelaksanaan skim itu untuk membantu rakyat termasuk pekerja ekonomi gig seperti pemandu e-hailing dan penghantar makanan mendapatkan pembiayaan perumahan. - Gambar fail
Advertisement

PORT DICKSON: Sebanyak 93,555 individu menerima manfaat Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) setakat hari ini untuk membantu mereka memiliki rumah pertama, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata kerajaan menyediakan RM40 bilion bagi pelaksanaan skim itu untuk membantu rakyat termasuk pekerja ekonomi gig seperti pemandu e-hailing dan penghantar makanan mendapatkan pembiayaan perumahan.

“Setakat ini, kita masih mempunyai baki sebanyak RM18 bilion dengan pinjaman diluluskan oleh 17 institusi kewangan dan dijamin oleh kerajaan.

“Saya yakin menjelang akhir tahun ini, sasaran kita 100,000 pembeli akan menerima manfaat SJKP dan mereka yang membeli rumah pertama bernilai tidak melebihi RM500,000 layak memohon skim ini,” katanya.

Nga berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan surat tawaran dan pengundian unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Ladang Tanah Merah yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Selain itu, Nga berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk membina 400 unit Program Residensi Rakyat (PRR) baharu berkonsepkan pangsapuri bertingkat di Nilai dengan kos pembangunan kira-kira RM117 juta.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sembilan juga meluluskan tanah bagi pembinaan dua projek PRR baharu, iaitu di Jempol bernilai RM29.2 juta yang dijangka siap pada 2028 dan di Linggi, Port Dickson berjumlah RM30 juta dengan jangkaan siap pada 2029.

Berhubung PPR Ladang Tanah Merah, Nga berkata ia bernilai RM20 juta dan menyediakan 100 unit rumah teres setingkat berkeluasan 750 kaki persegi yang dibangunkan untuk komuniti estet di kawasan itu bagi memastikan mereka menikmati kehidupan lebih selesa.

“Kesemua unit di PPR ini ditawarkan menerusi skim sewa untuk milik. Melalui skim ini, mereka hanya perlu membayar sewaan serendah RM237 sebulan termasuk yuran penyelenggaraan,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata sehingga hari ini, Negeri Sembilan berjaya mengekalkan rekod membanggakan apabila tiada isu projek rumah mampu milik terbengkalai atau pemaju culas sehingga menjejaskan hak pembeli.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan bukan sekadar memberikan keuntungan kepada pemaju tetapi turut memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement