Skip to main content

Malaysia

947 kes nombor pendaftaran catat kesalahan tertinggi Ops Ekstrem di Kelantan

OPERASI BERSEPADU OPS EKSTREM JPJ NEGERI KELANTAN BERSAMA PDRM NEGERI KELANTAN KELANTAN | 14 Ogos 2026 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Kelantan telah melaksanakan Operasi Bersepadu OPS EKSTREM sebagai usaha memperkukuhkan penguatkuasaan serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negeri Kelantan.-Facebook JPJ Negeri Kelantan DN
Mohd Misuari berkata JPJ menilai keadaan motosikal secara keseluruhan termasuk struktur dan bentuk, rim serta tayar, sistem ekzos, lampu, hendal, tempat duduk, komponen kawalan dan keselamatan serta paparan nombor pendaftaran. - Gambar Facebook JPJ Negeri Kelantan DN
Advertisement

KOTA BHARU: Kesalahan berkaitan nombor pendaftaran mencatat jumlah tertinggi iaitu 947 kes dalam Ops Ekstrem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, yang dilaksanakan secara berterusan dari 1 Jan hingga 14 Ogos lepas.

Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 1,100 motosikal dikenakan tindakan, termasuk 266 kenderaan yang disita kerana pelbagai kesalahan berkaitan pengubahsuaian dan pematuhan teknikal.

Beliau berkata sebanyak 2,248 notis saman dan 1,016 notis lain turut dikeluarkan dalam operasi berkenaan.

“Antara kesalahan utama yang dikesan ialah 64 kes pengubahsuaian bentuk dan peralatan, 187 kes berkaitan sistem ekzos, 87 kes tayar dan rim, 398 kes sistem lampu, 947 kes nombor pendaftaran serta 513 kesalahan lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media di JPJ Panji, di sini hari ini.

Mohd Misuari berkata penguatkuasaan itu bukan bertujuan menyekat minat atau hobi masyarakat terhadap motosikal, sebaliknya memastikan pengubahsuaian yang dilakukan tidak menjejaskan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang.

“Namun kebebasan untuk mengubah suai motosikal bukanlah kebebasan tanpa batas. Apabila pengubahsuaian mengubah spesifikasi asal, menjejaskan ciri keselamatan, mengganggu kawalan kenderaan atau menghasilkan bunyi keterlaluan, ia bukan lagi semata-mata soal modifikasi tetapi menjadi isu pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya,” katanya.

Mohd Misuari berkata JPJ menilai keadaan motosikal secara keseluruhan termasuk struktur dan bentuk, rim serta tayar, sistem ekzos, lampu, hendal, tempat duduk, komponen kawalan dan keselamatan serta paparan nombor pendaftaran.

“Tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang, spesifikasi teknikal dan hasil pemeriksaan, bukannya persepsi atau pandangan peribadi pegawai.

“Alasan seperti orang lain pun buat, sudah biasa atau bengkel yang pasang, bukan pengecualian daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Mohd Misuari berkata pesalah yang melakukan pengubahsuaian ekstrem boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, selain tindakan sitaan terhadap kenderaan, tertakluk kepada jenis kesalahan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement