NIBONG TEBAL: Kira- kira 98 peratus kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung di sini, sudah dipadamkan.

Operasi pemadaman yang memasuki hari ke-20 hari ini dijangka ditamatkan dalam masa terdekat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh, kerja-kerja pemadaman akan diteruskan oleh pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai dan PLB Terang Sdn. Bhd.

"Setakat ini, berdasarkan maklumat daripada Pengerusi Bencana Daerah Seberang Perai Selatan, sebanyak 98 peratus kebakaran daripada keseluruhan kawasan itu berjaya dipadamkan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

BACA: Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar lagi

BACA: Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, penduduk berhampiran mula berpindah

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah masih beroperasi dengan menempatkan penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.

Media sebelum ini melaporkan kebakaran seluas kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar di tapak pelupusan sampah terbesar di negeri itu.

Ekoran kejadian itu, 86 keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain sepuluh buah sekolah turut ditutup tiga hari.