MALAYSIA

98 peratus penerima SARA bulanan sudah belanja RM3.66 bilion beli keperluan asas - Amir Hamzah

Bernama 04/11/2025 | 13:40 MYT
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dalam tempoh sama, 100 peratus penerima bantuan itu di negeri Perlis, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah telah membuat pembelian keperluan asas melalui SARA. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3.66 bilion telah dibelanjakan oleh 98 peratus penerima bulanan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara bagi membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad sehingga 3 Nov.


Ringkasan AI
  • RM3.66 bilion telah digunakan oleh 98% penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk beli barangan keperluan asas menggunakan MyKad hingga 3 Nov.
  • 100% penerima bantuan di beberapa negeri telah gunakan SARA untuk beli keperluan asas, manakala RM1.69 bilion telah dikeluarkan oleh 83% penerima bantuan RM100.
  • Kerajaan komited untuk pulangkan penjimatan hasil reformasi fiskal negara kepada rakyat termasuk meringankan kos sara hidup, sambil menyokong peniaga kecil dan kedai runcit melalui inisiatif SARA.


Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dalam tempoh sama, 100 peratus penerima bantuan itu di negeri Perlis, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah telah membuat pembelian keperluan asas melalui SARA.

"Bagi penerima penghargaan SARA RM100 pula, lebih 18.3 juta rakyat ataupun 83 peratus berjaya (memanfaatkannya) melibatkan kos RM1.69 bilion.

"Kerajaan akan terus pastikan penjimatan hasil tambahan yang diraih susulan pelaksanaan reformasi fiskal negara, mestilah dipulangkan semula kepada rakyat termasuk dalam skop meringankan kos sara hidup," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan sentiasa memastikan manfaat SARA itu bukan hanya kepada penerima bantuan tetapi turut menyokong peniaga kecil, kedai runcit persendirian dan kedai koperasi.

Beliau berkata setakat 3 Nov juga, inisiatif itu berjaya melibatkan lebih 8,700 Rakan Niaga SARA termasuk sekitar 2,500 kedai runcit kecil di seluruh negara.

"Ini peningkatan besar berbanding 700 Rakan Niaga SARA termasuk 180 kedai runcit kecil pada tahun lepas. Antara koperasi yang menjadi Rakan Niaga SARA termasuklah Coop Mart, Koperasi Penjara Berhad, Koperasi FELCRA dan Koperasi FELDA Sungai Koyan 2," katanya.

-- BERNAMA



#penerima SARA bulanan #Sumbangan Asas Rahmah #mykad #Amir Hamzah Azizan