JOHOR BAHRU: Seramai 998 guru sekolah agama kerajaan negeri akan menikmati kenaikan pangkat berasaskan penilaian kecemerlangan yang telah ditetapkan kerajaan negeri secara berfasa, bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata inisiatif itu bertujuan memastikan kebajikan golongan berkenaan terjaga, sekali gus mengelakkan perpindahan guru sekolah agama kerajaan negeri ke Kementerian Pendidikan.

"Penambahbaikan dalam sistem kenaikan pangkat ini akan memberi suntikan semangat kepada guru-guru dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada lebih 186,137 murid sekolah agama kerajaan negeri di seluruh Johor.

"Selain itu, sebanyak 631 jawatan baharu telah dibuka kepada guru agama pada tahun ini melibatkan perjawatan tetap seramai 300 orang, melalui proses pemilihan yang dikendalikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ) bermula bulan lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata usaha itu memberi kelegaan kepada kebanyakan guru sekolah agama yang telah lama berkhidmat namun masih berstatus kontrak.

Sementara itu, Mohd Fared berkata program Bulan Dakwah Negeri Johor akan dilancarkan bulan ini, bertujuan merancakkan lagi penganjuran pelbagai aktiviti berunsur keagamaan melibatkan semua agensi di bawah Pusat Islam Iskandar.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan kempen Sekolahku Sejahtera yang dilancarkan pada Mei lepas melibatkan kos sebanyak RM345,000.

"Kempen itu memfokuskan kepada pembersihan fasiliti tandas di seluruh sekolah agama di negeri ini.

"Keperluan membaik pulih tandas itu perlu diselesaikan tahun ini bagi memberi keselesaan kepada setiap anak Johor," tambahnya.

-- BERNAMA