KUALA LUMPUR: Sebanyak 998 kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 13 hingga 16 Oktober ini.

Menurut Air Selangor Sdn Bhd dalam satu kenyataan, wilayah terlibat antaranya  Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Jelasnya ini susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

“Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air bermula jam 9:00 pagi, 13 Oktober 2021 dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9:00 malam, 16 Oktober 2021.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik taraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan,” katanya, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Air Selangor berkata, senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com.

Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” ujarnya

 
Sumber Facebook airselangor