MALAYSIA

AADK lancar modul rawatan dan pemulihan baharu

Astro Awani 20/07/2025 | 08:26 MYT
Ruslin berkata peluncuran modul tersebut mencerminkan komitmen AADK untuk terus responsif terhadap perubahan landskap penagihan. - Foto/AADK
KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini melancarkan modul rawatan dan pemulihan baharu yang menekankan pendekatan holistik, lebih mesra klien serta berasaskan bukti dalam usaha memperkukuh sistem rawatan dan pemulihan penagihan atau penyalahgunaan dadah negara selari dengan keperluan semasa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, peluncuran modul tersebut mencerminkan komitmen AADK untuk terus responsif terhadap perubahan landskap penagihan, terutamanya melibatkan dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu.

Jelas beliau, modul baharu tersebut dijangka menjadi pemacu kepada agenda negara dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui intervensi yang lebih berkesan dan inklusif melalui pendekatan rawatan serta pemulihan yang lebih holistik serta manusiawi.

“Peluncuran modul baharu ini sebagai satu langkah besar AADK untuk memastikan kaedah dan pendekatan rawatan dan pemulihan sentiasa relevan dan mengikut perubahan semasa, khususnya membabitkan isu penagihan jenis dadah.

“Tambahan pula, modul ini dirangka dengan kerjasama semua pihak merangkumi pendekatan bersepadu 'biospsikososial spiritual' serta kaedah rawatan dan pemulihan berasaskan bukti.

“Selain itu, strategi pemulihan secara berfasa yang menekankan pemerkasaan kendiri, sokongan komuniti, pekerjaan, kemahiran dan integrasi semula di dalam masyarakat turut dikemaskini dalam modul baharu ini sekali gus menjadikan modul ini sebagai panduan kepada pegawai pemulihan AADK untuk menjalankan tugas secara profesional dan konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Terbuka AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, program hari terbuka diadakan bertujuan memberi informasi berkaitan perkhidmatan terkini AADK kepada semua pelanggan khususnya dalam tiga bidang teras agensi iaitu pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan.

Tambah beliau, program ini juga bertindak sebagai mekanisme untuk meningkatkan kolaboratif antara semua agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam usaha mengatasi masalah berkaitan penyalahgunaan dan penagihan dadah atau bahan.

“Dengan adanya Hari Terbuka AADK, secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri pendekatan program rawatan dan pemulihan yang digunakan oleh AADK menerusi Model i-Pulih AADK dalam membantu klien kembali ke pangkal jalan.

“Pendekatan program rawatan dan pemulihan yang diketengahkan AADK juga bersifat rehabilitatif dengan memberikan sokongan psikologi, pendidikan, dan latihan kemahiran bertujuan membantu klien kembali kepada masyarakat secara produktif serta bukan bersifat menghukum," ujar beliau.



#AADK #Statistik dadah #modul rawatan #pemulihan #penagihan