SEPANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Malaysia Aviation Group (MAG) berhasrat memperkukuh kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi mempergiat usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam kalangan warga kerja kumpulan penerbangan itu.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAG Kapten Nasaruddin A. Bakar di Malaysia Airlines Berhad Academy, hari ini.
Beliau berkata MoU baharu itu dijangka memperkukuh komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam usaha pencegahan dan pembanterasan penyalahgunaan dadah, selain meningkatkan kesedaran mengenai ancaman bahan terlarang.
“Hari ini saya mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAG untuk berbincang kerjasama antara AADK dengan pihak MAG dalam memperkukuh program pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga kerja MAG.
“Harapan kita dengan adanya kerjasama ini, kita dapat memperkasa bukan sahaja di peringkat AADK, tetapi pada masa sama memperkasa peranan MAG khususnya Malaysia Airlines dalam program melibatkan pencegahan dadah di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat tersebut.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah serta barisan delegasi daripada kedua-dua pihak.
Ruslin menjelaskan, antara fokus utama kerjasama berkenaan adalah pelaksanaan program pencegahan khusus seperti Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di premis dan fasiliti milik MAG.
Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan langkah proaktif yang penting bagi menjamin integriti serta keselamatan operasi penerbangan.
“Inisiatif proaktif ini merupakan satu langkah keselamatan kritikal yang perlu diambil dengan kadar segera demi menjamin integriti serta tahap keselamatan operasi penerbangan.
“Langkah kolaborasi ini dijangka mampu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan bebas daripada ancaman dadah demi kesejahteraan perkhidmatan penerbangan negara,” ujarnya.