KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan 1,084 kes positif dadah hasil pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara dari 2024 hingga 31 Mac tahun ini.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata jumlah itu hasil saringan terhadap 3,625 rakyat Malaysia yang pulang dari negara jiran, khususnya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Beliau berkata pada 2024, sebanyak 494 individu termasuk 50 wanita ditahan selepas positif dadah dengan methamphetamine mencatatkan kes tertinggi, iaitu 148 kes diikuti ketamin (109 kes), tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja (96 kes), 4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (80 kes), benzo (62 kes), ketum (23 kes) dan opiat (empat kes).
“Pada tahun lepas, 415 individu termasuk 23 wanita ditahan dan dadah tertinggi dicatatkan ialah methamphetamine sebanyak 140 kes diikuti ketamin (108 kes), THC (70 kes), benzo (59 kes), MDMA (31 kes), opiat (lima kes) dan ketum dua kes.
“Untuk tahun ini, sebanyak 175 individu berusia 18 tahun hingga 60-an ditahan setakat 31 Mac membabitkan 167 lelaki dan lapan wanita dengan dadah tertinggi methamphetamine 65 kes, ketamin (43 kes), THC (32 kes), MDMA (22 kes) dan ketum (13 kes),” katanya.
Ruslin berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah 2026: Jelajah Aspirasi Gombak-Kita Turun Padang di Kampung Kemensah, Ulu Klang di sini hari ini.
Beliau mengingatkan rakyat Malaysia tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah ketika berada di luar negara kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Penagih Dadah 1983 dengan AADK menempatkan Unit Antidadah Sempadan di Kedah, Perlis dan Kelantan.
“Semua unit itu ditempatkan di lokasi berkenaan bagi memantau pergerakan masuk rakyat Malaysia dari negara luar dan menjalankan pemeriksaan termasuk di laluan feri di Pengkalan Kubor, Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Ruslin berkata program di Kampung Kemensah turut melibatkan inisiatif Kampung Angkat Bebas Dadah, iaitu inisiatif nasional berteraskan komuniti bagi meningkatkan kesedaran bahaya dadah dan mempromosikan gaya hidup sihat.
-- BERNAMA