SUNGAI BULOH: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 133 individu selepas disyaki positif dadah dalam Ops Perdana agensi itu di enam daerah di Selangor dari Isnin lepas hingga hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Zainudin Abdullah berkata operasi dijalankan hasil risikan AADK Selangor yang mengenal pasti kawasan belakang premis perumahan dan lokasi terpencil sebagai antara lokasi utama aktiviti penyalahgunaan dan urus niaga dadah, khususnya syabu serta heroin.
Beliau berkata aktiviti itu dikesan banyak berlaku antara 8 pagi hingga 10 malam dengan anggaran 30 hingga 60 individu mengunjungi lokasi terlibat untuk mendapatkan bekalan dadah setiap hari.
“Dadah methamphetamine atau syabu mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu melibatkan 72 individu diikuti heroin (24 individu) dan ganja (lapan individu).
“AADK turut mengesan 29 individu yang menyalahgunakan daun ketum atau mitragynine,” katanya kepada pemberita selepas serbuan operasi itu di sini hari ini.
Zainudin berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 130 lelaki dan tiga wanita berusia 19 hingga 61 tahun dengan penahanan dibuat mengikut Seksyen 31 Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Semua individu itu dibawa ke Pejabat AADK Daerah Petaling untuk dokumentasi.
Beliau berkata operasi yang dilaksanakan di Petaling, Kuala Langat, Gombak, Sepang, Hulu Langat dan Klang melibatkan 20 pegawai serta 100 anggota AADK.
Dalam perkembangan berkaitan, Zainudin berkata AADK telah melaksanakan 4,253 operasi di seluruh negara setakat ini, dengan 30,157 individu ditahan bagi tempoh Januari hingga 18 Okt.
Beliau turut menggalakkan individu yang terlibat penyalahgunaan dadah dan ketum supaya tampil secara sukarela ke pejabat AADK daerah atau negeri atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) untuk rawatan dan pemulihan.
-- BERNAMA