Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

AAIMS 25: Kerangka tadbir urus, undang-undang AI sedang digubal - Gobind Singh

Umavathi Ramayah 12/08/2025 | 05:40 MYT
Gobind berkata, Malaysia perlu bersedia bukan sahaja dari segi penggunaan, tetapi juga memastikan nilai, etika dan keselamatan sentiasa terpelihara. - Foto FB Gobind Singh
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka kerangka tadbir urus dan undang-undang khusus bagi memastikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di Malaysia dibangunkan secara selamat, beretika dan mematuhi piawaian antarabangsa.


Ringkasan AI
  • Kerajaan sedang merangka kerangka tadbir urus AI yang merangkumi penetapan piawaian, penggubalan peraturan dan penyediaan undang-undang khusus bagi memastikan pembangunan AI yang selamat, beretika dan sejajar piawaian antarabangsa.
  • Draf pertama undang-undang AI telah diserahkan, namun Menteri Digital Gobind Singh Deo meminta kajian lebih mendalam sebelum dibawa ke Kabinet dan diumumkan secara rasmi menjelang pertengahan 2026.
  • Kerangka ini akan melibatkan penubuhan jabatan khusus, penggubalan peraturan melalui proses Parlimen, serta undang-undang spesifik yang sedang dibincang bersama industri melalui Pejabat AI Kebangsaan


Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata proses itu merangkumi tiga teras utama iaitu penetapan piawaian, penggubalan peraturan dan penyediaan undang-undang spesifik.

“Saya harap menjelang pertengahan tahun depan, kita akan menyaksikan perkembangan besar dalam aspek tadbir urus AI ini. Pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas Kementerian Digital dan Pejabat AI Kebangsaan bersedia, serta selepas ia melalui proses kelulusan Kabinet.

“Draf pertama undang-undang berkaitan AI sudah diserahkan kepada saya, namun saya telah meminta kajian lebih mendalam dijalankan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN AI di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, kerangka tadbir urus memerlukan beberapa elemen penting, termasuk penubuhan jabatan khusus yang bertanggungjawab menetapkan serta memantau pematuhan piawaian yang ditetapkan.

“Kedua, kita perlu ada peraturan yang digubal melalui proses perundangan tertentu, dan ini sedang dalam proses untuk dibawa ke Parlimen.

“Ketiga, kita sedang meneliti undang-undang spesifik bagi aspek tertentu yang kini dibincangkan bersama industri menerusi Pejabat AI Kebangsaan,” ujarnya.

Gobind menegaskan, AI adalah teknologi yang akan mengubah cara negara bergerak ke hadapan. Justeru, Malaysia perlu bersedia bukan sahaja dari segi penggunaan, tetapi juga memastikan nilai, etika dan keselamatan sentiasa terpelihara.



#ASEAN #Gobind Singh Deo #kecerdasan buatan #Sidang Kemuncak ASEAN AI