Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

AAIMS 25: Malaysia kukuh langkah sedia hadapi jurang AI - Gobind

Umavathi Ramayah 12/08/2025 | 05:55 MYT
Gobind Singh Deo berkata, pelaburan juga menunjukkan kepercayaan negara-negara jiran yang melihat Malaysia sebagai hab serantau bagi teknologi pusat data dan sebagainya. - Foto FB Gobind Singh
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan tepat dalam mempersiapkan negara menghadapi perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dengan pelaksanaan langkah strategik merangkumi pembangunan infrastruktur, keselamatan siber serta pembinaan bakat tempatan.


Ringkasan AI
  • Malaysia berada di landasan tepat membangunkan ekosistem AI melalui pelaburan strategik dalam infrastruktur pusat data, keselamatan siber dan pembangunan bakat tempatan.
  • Malaysia dilihat sebagai hab serantau AI oleh negara jiran, dan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025, yang menjadi platform kerjasama dan perkongsian strategi.
  • Kerjasama serantau dan pembelajaran silang daripada negara lebih maju dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam teknologi AI.


Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata sejak 18 bulan lalu, kerajaan memberi penekanan penuh kepada usaha membina ekosistem AI yang mampu menggerakkan negara ke hadapan, termasuk memastikan pelaburan besar seperti pembinaan pusat data terus memasuki negara.

"Perdana Menteri secara peribadi telah memastikan pelaburan daripada syarikat-syarikat besar, khususnya dalam bidang pusat data, dapat direalisasikan.

"Ini merupakan titik permulaan yang penting bagi membuktikan keyakinan negara luar terhadap kestabilan pemerintahan di Malaysia serta pandangan mereka terhadap masa depan negara,” katanya pada Sidang Kemuncak AI ASEAN yang berlangsung di ibu negara, Selasa lalu.

Gobind berkata, pelaburan ini juga menunjukkan kepercayaan negara-negara jiran yang melihat Malaysia sebagai hab serantau bagi teknologi pusat data dan sebagainya.

Dalam aspek jurang ketersediaan teknologi, beliau yakin Malaysia bergerak ke hadapan. Tahun ini sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia diberi ruang menjadi hos kepada acara seperti Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025 yang menjadi platform perbincangan antara negara anggota.

"Setiap negara mempunyai cabaran tersendiri dan kita boleh belajar daripada negara-negara yang lebih maju. Kerjasama ini akan memperkukuh kedudukan kita di peringkat serantau," katanya.

Gobind menambah, memperkukuh persahabatan dalam kalangan negara ASEAN dan memajukan ekonomi rantau akan memberikan impak positif kepada Malaysia dan negara anggota lain.





#Gobind Singh Deo #kecerdasan buatan #keselamatan siber #Sidang Kemuncak ASEAN AI