MALAYSIA

AAIMS25: Lima teras bakal dikupas, pacu pembangunan inklusif dan mampan - Gobind

Astro Awani 08/08/2025 | 11:15 MYT
Gobind berkata AAIMS25 merupakan sidang kemuncak bersejarah yang menyelaraskan strategi nasional dan memperkukuh tadbir urus data dalam aspek AI. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN Malaysia 2025 (AAIMS2025) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada 12 sehingga 13 Ogos ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata penganjuran itu sejajar dengan falsafah MADANI yang menekankan empati, keadilan dan kelestarian.

“Malaysia komited untuk menerajui pembangunan AI yang menyeluruh, memastikan teknologi ini berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat dan komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dengan tema 'Menerajui Pembangunan AI yang Inklusif dan Mampan di ASEAN', AAIMS2025 menjadi platform penting untuk menyelaraskan strategi nasional, memperkukuh tadbir urus data, dan merangsang kerjasama rentas sempadan dalam inovasi digital.

Antara objektif utama sidang itu termasuk membincangkan isu kedaulatan AI, inovasi digital, mengharmonikan peraturan, infrastruktur awam digital dan pembangunan bakat tempatan.

Lima teras strategik yang akan dibincangkan sepanjang acara adalah memperkasa rakyat, merangsang inovasi perniagaan, meningkatkan peranan belia sebagai pemimpin AI, memperkukuh ekosistem serantau AI, memacu kesediaan dasar dan kedudukan global.

Sidang kemuncak bersejarah yang dianjurkan Kementerian Digital dengan sokongan Pejabat AI Kebangsaan, dijangka menghimpunkan lebih 1,500 delegasi termasuk menteri-menteri ASEAN, ahli akademik, usahawan, pemimpin belia serta pakar teknologi.

Malaysia berharap penganjuran AAIMS2025 dapat memacu kerjasama erat antara kerajaan, industri, belia dan masyarakat sivil dalam membina masa depan AI yang beretika, selamat dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di ASEAN.

“ASEAN perlu bangkit sebagai peneraju dalam transformasi global ini, dan Malaysia harus bersedia memainkan peranan utama,” tambah Gobind.



#AAIMS25 #Kementerian Digital #kecerdasan buatan #sidang kemuncak