KUALA LUMPUR: Kegagalan terus menghantui beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas tersingkir di peringkat suku akhir Terbuka Jepun yang berlangsung di Gimnasium Nasional Yoyogi, Tokyo, hari ini.

Gandingan juara dunia itu yang tersungkur di pusingan kedua Terbuka Korea minggu lepas, ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan tuan rumah Takuro Hoki-Yugo Kobayashi apabila tumpas 21-10, 15-21, 16-21 dalam pertarungan selama 65 minit.

Kejayaan mara ke separuh akhir di hadapan penyokong sendiri menyaksikan Hoki-Kobayashi melebarkan rekod kemenangan ke atas gandingan Malaysia itu apabila merakam kemenangan kelima berturut-turut sejak pertemuan pada Oktober 2021.

Aaron-Wooi Yik dan Hoki-Kobayashi, masing-masing beregu nombor empat dan lima dunia ketika ini.

Kekalahan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menamatkan cabaran Malaysia di Jepun selepas mereka muncul wakil tunggal beraksi di pentas suku akhir.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik sering tewas di pusingan kedua dan suku akhir musim ini dan hanya berjaya mara ke final masing-masing pada Terbuka India, Januari lepas dan Terbuka Indonesia (Jun), namun sekadar muncul naib juara.

-- BERNAMA