MALAYSIA

Ab Rahaman dilantik Ketua Polis Johor berkuat kuasa hari ini

Bernama 04/08/2025 | 08:15 MYT
Majlis penyerahan tugas Ketua Polis Johor antara Datuk M. Kumar (kiri) dengan CP Ab Rahaman Arsad (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Johor hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman CP Ab Rahaman Arsad, dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini.


Ringkasan AI
  • Pelantikan Ketua Polis Johor baharu: CP Ab Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor menggantikan Datuk M. Kumar yang kini mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
  • Latar belakang dan keyakinan kepimpinan: Ab Rahaman, anak jati Kulai, berpengalaman luas dalam PDRM sejak 1989 dan menerima sokongan penuh daripada Bukit Aman untuk meneruskan kecemerlangan di Johor.
  • Majlis serah tugas dan penghargaan: Majlis rasmi di IPK Johor turut menyaksikan pertukaran jawatan PERKEP serta penghargaan kepada Kumar atas khidmat cemerlang selama 18 tahun di negeri itu.


Ab Rahaman, 58, anak jati Johor yang berasal dari Kulai menggantikan Datuk M. Kumar, 56, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor disaksikan Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, ketua-ketua polis daerah serta warga IPK Johor.

Pada majlis itu, Abdul Aziz turut memakaikan pangkat CP (Komisioner Polis) kepada Ab Rahaman.

Abdul Aziz dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Kumar atas khidmat cemerlang beliau selama lebih 18 tahun di Johor, sambil menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Ab Rahaman untuk meneruskan kecemerlangan di negeri itu.

"Saya percaya Ab Rahaman adalah calon yang tepat sebagai Ketua Polis Johor dan kita di Bukit Aman meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap kemampuan beliau," katanya.

Ab Rahaman memulakan kerjaya dalam pasukan PDRM pada 1989 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan di IPK Negeri Sembilan dan Kedah.

Sementara itu, Kumar yang menyertai PDRM pada 1 Disember 1991 dan pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Timbalan Ketua Polis Johor menyatakan keyakinan terhadap kemampuan penggantinya.

"Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IPK Johor, kepimpinan kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, badan bukan kerajaan dan pengamal media atas sokongan padu yang diberikan sepanjang saya berkhidmat di Johor," katanya.

Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor antara SP Shanthi dan Salwah Mahdan yang disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.

-- BERNAMA




#Ab Rahaman Arsad #ketua polis johor #PDRM #M Kumar #terkini