MALAYSIA

Ab Rahaman sedia galas amanah, bawa pembaharuan bersama konsep 'GREAT'

Bernama 04/08/2025 | 08:30 MYT
Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Abdul Majid (tengah) memakaikan pangkat kepada Ketua Polis Johor yang baharu CP Ab Rahaman Arsad (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor yang baharu, CP Ab Rahaman Arsad bersedia memikul amanah besar dalam mendepani cabaran menjaga keamanan di negeri ini selain bertekad membawa pembaharuan menerusi pendekatan kepimpinan berteraskan prinsip 'GREAT'.


Ringkasan AI
  • Pelantikan Ketua Polis Johor ke-67: CP Ab Rahaman Arsad, anak jati Kulai, dilantik sebagai Ketua Polis Johor dan bertekad membawa pembaharuan berasaskan prinsip kepimpinan 'GREAT'.
  • Tiga fokus utama pentadbiran: Beliau komited memperkukuh integriti perkhidmatan kepolisan, tadbir urus penyampaian perkhidmatan, dan kebajikan warga PDRM Johor.
  • Keutamaan keselamatan sempadan: Johor sebagai pintu masuk strategik negara memerlukan kesiapsiagaan tinggi; lebih 10,000 anggota PDRM dianggap aset penting dalam mendepani cabaran keselamatan.


Anak jati Kulai, Johor itu berkata walaupun kali pertama berkhidmat di negeri kelahirannya, pengalaman luas dalam perkhidmatan sebelum ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasakan pentadbiran dan keselamatan negeri sebagai Ketua Polis Johor ke-67.

Beliau berkata fokus pentadbirannya di negeri ini akan tertumpu kepada tiga misi utama iaitu menyediakan perkhidmatan kepolisan yang profesional dan berintegriti, memperkukuh tadbir urus penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.

"Tiga tumpuan ini selaras dengan hala tuju pucuk pimpinan PDRM di semua kontinjen, namun saya akan membawa nilai tambah menerusi prinsip GREAT atau G-R-E-A-T yang akan dijadikan panduan utama bagi semua warga polis Johor," katanya pada sidang media pertamanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata konsep GREAT merangkumi prinsip Good Governance (Tadbir Urus Baik), Responsibility (Tanggungjawab), Empathy (Ehsan), Accountability (Kebertanggungjawaban), dan Tenacity of Purpose (Keteguhan Matlamat).

Mengulas cabaran keselamatan di Johor, beliau berkata kedudukan strategik negeri itu yang bersempadan dengan Singapura dan berhampiran Indonesia menjadikannya pintu masuk penting negara, sekali gus memerlukan kesiapsiagaan tinggi daripada seluruh pasukan PDRM.

"Johor adalah sebuah negeri yang menjadi tumpuan dari pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan politik, maka peranan PDRM amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara," katanya.

Beliau menyifatkan kekuatan lebih 10,000 pegawai dan anggota polis di Johor sebagai aset utama dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan semasa, termasuk jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan dadah.

"Saya percaya dengan kerjasama semua ketua jabatan dan ketua polis daerah, kita mampu mengekalkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam yang tinggi di negeri ini," katanya.

Terdahulu, Ab Rahaman dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk M. Kumar, 56, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

-- BERNAMA




#ketua polis johor #Ab Rahaman Arsad #PDRM #konsep GREAT