NATIONAL
"Abah dah tiada, tak akan pulang lagi", pesan ibu kepada anak

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (dua, kanan) menyerahkan sumbangan ketika menziarahi keluarga Allahyarham Adnan Othman (dari,kiri) balu Allahyarham Nor Shahmiza Salleh bersama anak Alia Maisara, 2, di Lukut hari ini. - Foto Bernama
"Abah sudah tiada dan tidak akan kembali lagi". Itu ungkapan yang diulang setiap hari oleh seorang ibu kepada anak perempuannya untuk meyakinkannya tentang kepergian bapa untuk selamanya.
Shahmiza Salleh, 31, berkata pesanan itu ditegaskan kepada anak sulungnya itu yang baru berusia empat tahun agar dia akhirnya faham tentang nasib yang telah melanda keluarga.
Shahmiza adalah balu Allahyarham anggota bomba, Adnan Othman, 33, yang terkorban bersama lima anggota lain dalam misi mencari dan menyelamat remaja mangsa lemas berusia 17 tahun di sebuah lombong tinggal di Puchong, Selangor, Rabu lalu.
Ibu itu yang bekerja sebagai Pengajar Latihan di Institut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sungai Buloh berkata, kedua-dua anak perempuannya, masing-masing berusia empat dan dua tahun setakat ini tidak menunjukkan sebarang emosi yang tidak menentu.
"Sejak hari kejadian lagi saya sudah pesan begini... cuma selepas ini tidak pasti apa reaksi atau keadaan mereka berdua ini," katanya.
Terdahulu, Shahmiza dan keluarga diziarahi Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Datuk Mahfuz Omar.
Shahmiza merakamkan penghargaan atas kesudian Mahfuz serta pegawai kanan JKKP yang prihatin dan mengambil peduli aspek keselamatan dan kesihatan warga kerja.
Jenazah Allahyarham penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Adnan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lukut pukul 2 petang diiringi kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 4 Oktober lalu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami