MALAYSIA

Abang Johari galak kontraktor pilih kayu sintetik untuk pembinaan lestari

Bernama 18/11/2025 | 01:00 MYT
Abang Johari menyampaikan ucapan pada program International Conference on Forest Plantation Research peringkat Sarawak 2025 di Kuching, malam tadi. - Gambar Bernama
KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa kontraktor pembinaan di negeri ini meneroka penggunaan kayu sintetik sebagai sebahagian daripada peralihan Sarawak ke arah ekonomi hijau serta strategi jangka panjang pengurusan hutan secara mampan.

Beliau berkata, bahan alternatif ini berpotensi memenuhi keperluan industri pembinaan sambil menyokong komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar.

"Jika anda memerlukan kayu untuk membina rumah, terdapat juga alternatif iaitu kayu sintetik bercampur fiber. Ini boleh digunakan sebagai pilihan dalam pembinaan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Ladang Hutan Industri 2025, di sini, malam tadi.

Menurutnya, walaupun kayu sintetik dihasilkan daripada gabungan fiber kayu dan produk kimia lain, yang masih menghasilkan sedikit pelepasan karbon, ia tetap merupakan pilihan yang mempunyai intensiti karbon lebih rendah berbanding bahan tradisional.

"Memang ada sedikit pelepasan karbon, sama seperti sektor pembinaan industri lain dan pengangkutan awam, namun tahap pengeluaran karbon boleh dikurangkan. Tambahan pula, karbon masih boleh diserap melalui proses semula jadi dan kaedah saintifik, termasuk menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) serta teknologi lain," katanya.

Abang Johari menekankan bahawa strategi perhutanan Sarawak berfokus kepada pemuliharaan hutan hujan semula jadi sambil memperkukuh program perladangan bagi memastikan bekalan bahan mentah yang mampan.

"Sarawak ketika ini mengekalkan 62 peratus keluasan tanahnya atau kira-kira 7.65 juta hektar, sebagai kawasan berhutan. Daripada jumlah itu, 3.95 juta hektar digazetkan sebagai hutan simpan kekal, manakala lebih 874,000 hektar tanah dan 1.2 juta hektar kawasan marin digazetkan sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, bergantung sepenuhnya kepada hutan semula jadi tidak mampu memenuhi keperluan tanpa risiko kemerosotan yang serius, justeru menekankan kepentingan ladang hutan yang diurus dengan baik dalam mengurangkan tekanan ke atas hutan semula jadi serta menyumbang kepada inovasi, ketahanan iklim, dan pertumbuhan ekonomi.

"Ya, kita mempunyai hutan semula jadi, tetapi kita perlu memperkayakan hutan dengan menanam lebih banyak pokok. Di sinilah peranan sains. Kita mesti melabur dalam penyelidikan untuk menanam lebih banyak pokok dalam tempoh singkat serta membina kawasan simpanan untuk menyerap karbon, sambil pada masa sama menghasilkan lebih banyak oksigen," katanya.

-- BERNAMA


#kayu sintetik #pembinaan lestari #kontraktor Sarawa #Abang Johari Tun Openg