KUALA LUMPUR: Sering mencuri perhatian masyarakat menerusi aksi komedi watak Mr. Bean ketika menghiburkan orang ramai di jalanan, pemintal belon tular dikenali sebagai Abang Mr Bean bertuah apabila terpilih sebagai penerima tajaan Umrah 1000 Asnaf.
Abang Mr Bean, atau nama sebenar Mohd Nizam Mohamad Idrus, 49, meluahkan rasa terharu apabila Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) memberi kejutan cukup bermakna kepadanya dengan tawaran mengerjakan umrah itu.
Advertisement
“Saya terharu sangat, saya tak pernah jangka, pada awal bulan Ramadan ini saya mendapat kejutan daripada ikhlas.com. Apa yang saya lalui sepanjang perjalanan hidup kami berdua (bersama-sama isteri) ini, saya rasa Allah SWT dah balas dengan cara yang tak disangka-sangka,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh ikhlas.com hari ini.
Menurut kenyataan itu, pada awalnya, kru produksi ikhlas.com bersama-sama dengan pempengaruh, Edin Komeng memborong kesemua belon Abang Mr. Bean yang dijualnya pada harga “seikhlas hati”, iaitu pelanggan sendiri menentukan jumlah ingin dibayar.
Setelah bertemu dengan Abang Mr. Bean dan atas kelulusan peringkat atasan, kru produksi ikhlas.com menyampaikan berita gembira itu kepadanya serta isteri, Suraya Zulkifli.
ikhlas.com berkata Umrah 1000 Asnaf dilancarkan pada 19 Mac 2025 bersempena dengan sambutan ulang tahun kelima syarikat, dengan misi memperkasa komuniti setempat dalam mengenal pasti golongan asnaf terpilih untuk merealisasikan impian mereka melaksanakan ibadah umrah.
Pendekatan itu selaras dengan misi ikhlas.com untuk menjadikan umrah dapat diakses oleh semua umat Islam, termasuk mereka yang tidak berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
-- BERNAMA