KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Setiausaha Tetap di Kementerian Kerajaan Sarawak, Affandi Keli yang maut bersama dua ahli keluarganya dalam kebakaran di Kampung Gita, semalam.

Menurutnya, Allahyarham adalah rakan sekerja di agensi kerajaan dan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak (KPSU) pada 2009.

“Pada masa itu saya adalah Pengerusi BDC untuk berapa tahun, lama juga kita bersama sama selepas itu dia berpindah menjadi setiausaha tetap dan saya diangkat menjadi Menteri Muda masuk ke kementerian sama iaitu kementerian perumahan.

“Sebab itu apabila saya tahu tentang musibah ini, saya agak terkejut dan di sini saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kejadian pada malam Ahad, tiga individu maut dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Bunga Tongkeng di Kampung Gita.

Mangsa dikatakan sempat membuat panggilan telefon dan video memaklumkan mereka terperangkap, sebelum ditemui maut di tingkat atas banglo dua setengah tingkat itu.

BACA: Mangsa sempat mohon maaf sebelum maut akibat kebakaran

Menurut salah seorang saksi, Mohd Edruce Abdul Hamid, dia menerima panggilan video daripada rakan sekerjanya memaklumkan apa yang berlaku.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Datu Khiruddin Drahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.03 petang.

Selain  Affendi yang juga bekas Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dua lagi mangsa yang maut  ialah anaknya Aneeqa, 35, dan anak saudaranya Nor Hasyidah Ajis, 22 tahun.