[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

ABIM adakan kunjungan rasmi bertemu Dalai Lama

Ridauddin Daud 21/03/2023 | 04:31 MYT
Pertemuan diakhiri dengan pemakaian "Songkok ABIM" sebagai simbol keutuhan hubungan ABIM bersama pihak Dalai Lama. - Foto ABIM
KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencipta sejarah tersendiri apabila melakukan kunjungan hormat kepada pemimpin spiritual Tibet, Dalai Lama, Tenzin Gyatso.
Kunjungan itu diketuai Muhammad Faisal Abdul Aziz yang turut melawat "communal kitchen" terbesar di dunia yang memberikan makanan percuma setiap hari ketika mengadakan siri lawatan di India.
Menerusi ciapan di Twitternya, Muhammad Faisal berkata, ABIM menyentuh isu berkaitan Islamofobia dan mengunjurkan bagaimana komuniti agama boleh menjernihkan salah faham masyarakat berkaitan Islam yang kononnya mempromosi keganasan.
"Pemimpin pelbagai agama khususnya Islam dan Buddhism harus lebih giat meneroka ruang penyelesaian kepada masalah dunia secara bersama termasuk yang menyentuh aspek perubahan iklim.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Justeru, agama harus dilihat sebagai berperanan penting dalam menjadi sumber kedamaian dan keamanan dan bukan konflik mahupun keganasan.
"Pihak ABIM turut menyuarakan pendirian untuk bersama membela setiap golongan yang ditindas atas nama kemanusiaan termasuk Uyghur.
"His Holiness Dalai Lama menyatakan bahawa 'saya rasa sakit dan sedih bila mendengar sahabat-sahabat Uyghur yang dizalimi'," menurut ciapan tersebut.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambahnya, pertemuan diakhiri dengan pemakaian "Songkok ABIM" sebagai simbol keutuhan hubungan ABIM bersama pihak Dalai Lama.
Turut diserahkan ialah Al-Quran terjemahan Inggeris, buku Islam & Buddhism Eco Dialogue dan buku-buku dihasilkan ABIM.
"Siri kunjungan sebegini diharap dapat menjernihkan salah faham masyarakat lain terhadap Islam dan secara tidak langsung dapat menangkis barah Islamofobia dari bercambah," ujarnya.
#ABIM #Dalai Lama Tenzin Gyatso #Muhammad Faisal Abdul Aziz