MALAYSIA

ABKL Experience 2025: Platform baharu perkasa industri digital, e-sukan

Astro Awani 20/12/2025 | 23:00 MYT
Muzammil berkata, acara itu turut memberi pendedahan perkembangan dunia roleplay (permainan peranan) tempatan termasuk teknologi pelayan, sistem permainan, pencipta kandungan serta potensi kerjaya. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) mencipta sejarah menerusi penganjuran ABKL Experience 2025, acara berskala besar yang menjadi platform rasmi memperkenalkan keseluruhan ekosistem ABKL kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif ABKL Muzammil Mudzakir berkata, acara itu turut memberi pendedahan perkembangan dunia roleplay (permainan peranan) tempatan termasuk teknologi pelayan, sistem permainan, pencipta kandungan serta potensi kerjaya dalam industri digital dan e-sukan.

“Pertandingan yang dianjurkan tampil dengan konsep roleplay kompetitif, berbeza daripada e-sukan tradisional kerana elemen kreativiti, strategi, kerjasama pasukan dan penceritaan menjadi penilaian utama,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Acara turut menghimpunkan kira-kira 1,000 ahli komuniti ABKL termasuk pemain, streamer, pembangun sistem, pempengaruh dan pemerhati industri dari Malaysia serta beberapa negara jiran, menjadikannya acara berimpak serantau.

ABKL turut memperkukuh jenama dengan penglibatan ikon berpengaruh seperti bekas pelumba MotoGP Hafizh Syahrin dan pempengaruh e-sukan Daddyhood sebagai wakil komuniti, selain kolaborasi kreatif bersama ahli kumpulan rap K-Clique iaitu Somean dan Gnello.

Menurut Ketua IT ABKL, Mohd Hilmi Azli, kesemua ikon bukan sekadar wajah promosi tetapi turut berperanan sebagai pemain aktif, streamer dan penyumbang idea dalam pembangunan ekosistem Adik Beradik Role Play (ABRP).

“Sejak pelantikan mereka (ikon-ikon), keterlibatan komuniti meningkat ketara dan menarik demografi baharu termasuk golongan bukan gamer, atlet dan peminat hiburan,” katanya.

ABKL Experience 2025 juga menjadi titik permulaan untuk perancangan 2026 termasuk peluasan ABRP dengan teknologi baharu, penganjuran acara fizikal dan digital secara berkala serta pembangunan platform sokongan untuk pencipta kandungan melalui pelayan khas ABShoot.

Antara selebriti dan streamer yang memeriahkan acara ialah Rayyan.s, Malkodok, Fattah Zie, King Shah, KingYonny, Hafizh Syahrin, Haris Alif, Asyraf Rozaimi, Master Ramen, Jaa Suzuran, Daddyhood dan K-Clique.









#MotoGP #roleplay #Adik Beradik Kuala Lumpur ABKL #streamer