MALAYSIA

Abu Bakar harap mampu galas tanggungjawab tanpa rasa takut, pilih kasih

Bernama 29/07/2025 | 01:10 MYT
Abu Bakar pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman, Putrajaya, 28 Julai 2025. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Presiden Mahkamah Rayuan yang baru dilantik Datuk Abu Bakar Jais menyifatkan pelantikan itu sebagai satu tanggungjawab besar dan mencabar, terutama dalam menegakkan keadilan di sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Bercakap kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di Dewan Persidangan Istana Kehakiman di sini, Abu Bakar, 63, mengakui sebagai Presiden Mahkamah Rayuan bukanlah sesuatu yang mudah untuk memenuhi harapan semua pihak.

"Sudah tentu, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak, namun saya berharap dapat melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.

Beliau tidak menafikan tekanan yang bakal mengiringi tanggungjawab itu, namun yakin mampu mengharunginya dengan sokongan dan kerjasama daripada hakim-hakim yang lain.

Abu Bakar berkata Mahkamah Rayuan ketika ini mempunyai 32 hakim, walaupun dua daripadanya bakal bersara dalam masa terdekat.

Mahkamah Rayuan kini mampu membentuk lapan panel hakim, namun beliau merancang menambah jumlah itu kepada 10 panel, dengan harapan ia dapat mempercepat penyelesaian kes rayuan.

Sementara itu, Datuk Azizah Nawawi, 63, mengakui terkejut dengan pelantikan sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, jawatan keempat tertinggi dalam Badan Kehakiman Malaysia, memandangkan beliau sebelum ini berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Meskipun menjadi wanita pertama yang dilantik ke jawatan itu, Azizah berkata beliau tidak melihatnya sebagai satu tekanan memandangkan pernah berkhidmat di Jabatan Peguam. - fotoBERNAMA


"Alhamdulillah, saya dipilih sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak. Saya berasal dari Sibu, jadi saya sangat gembira kerana dipertimbangkan untuk jawatan ini. Saya akan melaksanakan tugas saya," katanya kepada pemberita.

Meskipun menjadi wanita pertama yang dilantik ke jawatan itu, Azizah berkata beliau tidak melihatnya sebagai satu tekanan memandangkan pernah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara.

"Tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan, ia boleh diurus dengan baik," katanya.

Azizah berkata beliau berhasrat untuk meneruskan kerja-kerja oleh penyandang sebelum ini dan akan terus memberikan yang terbaik kepada institusi kehakiman di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA



#Abu Bakar Jais #Presiden Mahkamah Rayuan #Azizah Nawawi #Hakim Besar Sabah dan Sarawak