MALAYSIA
Abu Bakar Jais Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu

Anak kelahiran Muar, Abu Bakar berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya dan memperoleh Certificate in Government Legal Advisers Course dari University of London. - Foto Mahkamah Persekutuan
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu.
Beliau menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 3 Julai lepas.
Abu Bakar, 63, memulakan kerjaya sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Julai 2013 hingga 20 Mac 2016, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 21 Mac 2016.
Beliau pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Seremban antara 2016 dan 2019, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 5 Dis 2019, dan kemudiannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Jun 2023.Abu Bakar memiliki pengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan. Beliau pernah menjadi Tutor di Fakulti Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1986-1987), Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara (1987), serta Badan Pencegah Rasuah (1987-1990).
Beliau turut berkhidmat sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Ipoh (1990), Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman (1991), dan Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara Melaka (1991-1992).
Abu Bakar turut menjawat beberapa jawatan penting lain termasuk sebagai Peguam Persekutuan di Bahagian Sivil, Jabatan Peguam Negara (1992-1995), dan Peguam Kanan Persekutuan (1995-2000).
Anak kelahiran Muar, Johor itu berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya (1982-1986) dan memperoleh Certificate in Government Legal Advisers Course dari University of London pada 1996.
Sepanjang perkhidmatannya, Abu Bakar merupakan antara panel hakim yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 2023.
Beliau juga antara panel hakim yang memutuskan rayuan dalam kes membabitkan SIS Forum (Malaysia).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami