ACCA: Pelajar terbaik Malaysia bangkit selepas dua kali gagal dalam peperiksaan

Bernama
April 20, 2021 20:16 MYT
Siti Naziah ketika ditemui di Taman Lela Kamunting, Taiping, 20 April 2021. --fotoBERNAMA
TAIPING: 'Gagal dua kali tidak bererti gagal selamanya.' Itu prinsip yang sentiasa tersemat bagi pelajar terbaik Malaysia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi sesi Mac 2021, Siti Naziah Mohamad Nazid yang pernah gagal sebanyak dua kali sebelum ini ketika menduduki peperiksaan dalaman di Kolej Pendidikan INTEC.
"Saya rasa terlalu kecewa pada ketika itu kerana tidak menyelesaikan latihan yang diberi pensyarah dan telah gagal dalam peperiksaan dalaman sebanyak dua kali. Peperiksaan tersebut sangat penting kerana ia menjadi pengukur bagi persediaan sebelum menduduki peperiksaan AA.
"Berikutan kegagalan itu, saya sentiasa menangis di dalam bilik kerana terlalu runsing, bimbang dan sangat takut jika tidak dapat mencapai cita-cita untuk menjadi seorang akauntan bertauliah," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Lela Kamunting, di sini.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata beliau tekad untuk keluar daripada situasi kegagalan dengan berbincang bersama ibunya, Kamariyah Kliwon (Kliwon), 44, serta mengajak dua rakan baiknya, Syaza Syariah Eddy Syazri dan Noor Syafiqah Mohd Tarmizi untuk bangkit semula menggenggam kejayaan.
Beliau turut berkongsi kaedah pembelajaran yang diamalkan bersama rakan-rakan sehingga membolehkan mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan bertaraf dunia.
"Saya akan mengulang kaji pelajaran selepas Subuh dan akan berehat dari semasa ke semasa bagi memastikan saya terus fokus dengan apa yang dipelajari. Selain itu, saya menggunakan kertas dinding yang mengandungi kata-kata positif sebagai pembakar semangat agar tidak berputus asa.
"Apabila saya melihat ibu saya sedang berdoa selepas solat, saya akan terus berlari kepadanya sambil turut sama menadah tangan dan meminta ibu mendoakan kejayaan saya," katanya.
Siti Naziah, yang berada di bawah seliaan Pelajar Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC), berharap beliau dapat menamatkan pengajiannya dalam tempoh yang ditetapkan selain memperoleh kejayaan dalam bidang ini.
Sementara itu, Kamariyah meluahkan rasa syukur atas kejayaan Naziah dan tidak menyangka usaha anaknya akan membuahkan hasil selepas dua kali gagal sebelum ini.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira walaupun pada mulanya saya seperti tidak percaya. Sebelum ini, ketika menduduki kertas peperiksaan itu Naziah mengadu bahawa dia tidak yakin boleh menjawab dengan baik.
"Saya tidak memberi tekanan kepadanya ketika itu malah memberi kata-kata semangat bahawa dia telah membuat yang terbaik dan harus serah sahaja pada Allah," katanya.
BACA: Agong ucap tahniah kejayaan dua pelajar Malaysia dalam peperiksaan ACCA
BACA: Dua pelajar Malaysia duduki 10 tempat teratas peperiksaan ACCA sesi Mac
Dilaporkan, Siti Naziah antara dua pelajar muda Malaysia yang berada di 10 tempat teratas di dunia dalam peperiksaan ACCA dan kejayaan itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menzahirkan ucapan tahniah kepada mereka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook pada Isnin, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang Siti Naziah dan Nurul Fatin Nabihah Hamdan kerana mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Seri Paduka juga menzahirkan rasa kagum atas kesungguhan dan semangat juang tinggi yang dipamerkan kedua-dua pelajar dalam menghadapi dugaan serta kekurangan untuk mengejar cita-cita mereka.
- BERNAMA
#ACCA #pelajar terbaik malaysia #Siti Naziah Mohamad Nazid #gagal #tidak berputus asa #cemerlang #peperiksaan