Acryl Sani pemangku Timbalan KPN yang baharu

Astro Awani
Ogos 13, 2020 01:59 MYT
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. - Gambar fail
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman itu bakal menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib bermula esok.
Menurut laporan Bernama, majlis serah terima tugas jawatan nombor dua tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di Cheras, hari ini.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Acryl Sani berpengalaman luas dalam bidang kepolisan dan pernah mengetuai beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Sumber Strategik serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
Sementara itu, Bernama memetik Abdul Hamid menjelaskan, Acryl Sani dilantik memangku sementara menunggu surat perkenan pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Abdul Hamid berkata, dua jawatan tertinggi dalam PDRM memerlukan perkenan Agong sebelum pelantikan boleh disahkan.
"Saya tidak boleh mendahului Seri Paduka kerana itulah Acryl Sani dilantik memangku jawatan berkenaan terlebih dahulu," katanya.
Mengulas pelantikan itu, Abdul Hamid berkata, Acryl Sani mempunyai pengalaman yang cukup luas selain mencatat banyak kejayaan sepanjang perkhidmatannya termasuk dalam membanteras kegiatan penyeludupan.
Kejayaan-kejayaan ini katanya telah menyelamatkan negara daripada kerugian berbilion ringgit.
#Acryl Sani Abdullah Sani #bersara wajib #Bukit Aman #Mazlan Mansor #Timbalan Ketua Polis Negara #Timbalan KPN