Skip to main content

Malaysia

Ada gaji belum tentu merdeka: 5 ukuran kemerdekaan ekonomi wanita

Working women at office
Pengukuhan kedudukan ekonomi wanita menjadi sebahagian penting dalam pembangunan negara yang lebih inklusif. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Wanita hari ini semakin berpendidikan, mempunyai pekerjaan, menjana pendapatan sendiri, membina perniagaan malah memiliki aset.

Namun, adakah semua itu sudah cukup untuk mengatakan wanita Malaysia benar-benar merdeka dari segi ekonomi?

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zaireeni Azmi berpandangan, ukuran kemerdekaan ekonomi wanita perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar melihat sama ada mereka bekerja atau mempunyai pendapatan.

Wanita yang bekerja masih boleh menerima pendapatan lebih rendah, kurang berada dalam kedudukan membuat keputusan, sukar mendapatkan modal atau terpaksa meninggalkan kerjaya kerana tanggungjawab penjagaan.

Justeru, kemerdekaan ekonomi sebenar perlu dilihat melalui keupayaan wanita mempunyai sumber, pilihan dan kuasa untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Berikut lima ukuran yang boleh memberikan gambaran lebih menyeluruh.

1. Ada gaji belum tentu ada kuasa

Pekerjaan dan pendapatan sendiri sememangnya satu pencapaian penting.

Pendapatan mengurangkan kebergantungan kewangan kepada pasangan atau keluarga, sekali gus membuka ruang kepada wanita membuat keputusan dalam kehidupan mereka.

Namun, kata Zaireeni, mempunyai wang tidak semestinya bermakna seseorang wanita mempunyai kawalan penuh terhadap pendapatan, simpanan atau asetnya.

“Kita tak boleh nak kata sebenarnya merdeka itu hanya mempunyai gaji. Merdeka itu juga apabila wanita mempunyai keupayaan untuk buat keputusan tentang kehidupan dan masa depan keluarga dan masa depan kewangan mereka sendiri,” katanya.

Perbezaan itu dirumuskan beliau melalui satu prinsip penting iaitu pendapatan mencipta kemampuan, tetapi kuasa membuat keputusan mencipta autonomi.

“Pendapatan memberi kita kemampuan, tetapi pemilikan dan kuasa membuat keputusan memberi kita autonomi untuk bergerak sendiri,” katanya.

2. Bukan sekadar jana wang, tetapi bina pemilikan

Kereta, rumah, tanah dan portfolio pelaburan kini bukan sesuatu yang asing dalam kalangan wanita.

Persoalan seterusnya ialah sejauh mana pemilikan tersebut benar-benar meluas.

Menurut beliau, kemajuan tidak boleh hanya dinilai berdasarkan wanita yang sudah berjaya membina kekayaan, sebaliknya perlu melihat sama ada peluang memiliki aset turut dapat dicapai wanita daripada kedudukan sosioekonomi berbeza.

Jurang antara mempunyai pendapatan dan membina pemilikan menjadi penting kerana aset boleh memberikan keselamatan kewangan yang lebih panjang berbanding pendapatan bulanan semata-mata.

Kemerdekaan ekonomi, dalam konteks ini, bergerak daripada sekadar “berapa banyak yang diperoleh” kepada “berapa banyak yang mampu dimiliki dan dikawal.”

3. Berniaga sahaja tidak cukup jika pintu modal masih sempit

Penyertaan wanita dalam dunia perniagaan turut menjadi satu lagi ukuran kemajuan ekonomi.

Namun, memulakan perniagaan tidak semestinya bermakna seseorang usahawan mempunyai peluang sama untuk membesarkannya.

Zaireeni menggariskan tiga kekangan yang boleh menentukan perjalanan usahawan wanita, akses kepada modal, rangkaian dan pasaran.

Kerajaan mempunyai pelbagai skim dan mekanisme untuk membantu usahawan wanita, tetapi persoalan lebih besar ialah sejauh mana kemudahan itu benar-benar dapat diakses dan digunakan untuk membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya.

Kemerdekaan ekonomi bukan sekadar memberi ruang kepada wanita untuk berniaga secara kecil-kecilan, tetapi membolehkan mereka membina perusahaan yang lebih besar dan mengambil bahagian secara lebih bermakna dalam ekonomi.

4. Berpendidikan tinggi, tetapi siapa duduk di meja membuat keputusan?

Kemajuan pendidikan wanita merupakan sebahagian penting daripada perjalanan ekonomi mereka, namun kelayakan akademik sahaja tidak menjamin penyertaan yang sama pada setiap peringkat kerjaya.

Ujar beliau, situasi wanita berpendidikan tinggi yang masih kurang berada dalam kedudukan membuat keputusan.

Ini menunjukkan ukuran kemajuan tidak boleh berhenti pada persoalan berapa ramai wanita memasuki universiti atau pasaran kerja.

Persoalan seterusnya ialah sejauh mana mereka mampu berkembang dalam kerjaya, memegang kedudukan kepimpinan dan mempunyai suara dalam keputusan yang memberi kesan kepada organisasi serta ekonomi.

Penyertaan membuka pintu, tetapi pengaruh menentukan sejauh mana wanita benar-benar berada dalam bilik tempat keputusan dibuat.

5. Kemerdekaan sebenar ialah mempunyai pilihan untuk terus bekerja

Antara ujian terbesar kepada kemerdekaan ekonomi wanita mungkin berlaku bukan ketika mereka memasuki pasaran kerja, tetapi apabila tanggungjawab penjagaan keluarga meningkat.

Sebahagian wanita terpaksa mengurangkan waktu bekerja, menghentikan kerjaya atau meninggalkan pasaran kerja untuk menjaga anak dan ahli keluarga.

Tambah Zaireeni, beban penjagaan atau care work perlu menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai kemerdekaan ekonomi.

Wanita seharusnya mempunyai pilihan untuk meneruskan pekerjaan tanpa terpaksa memilih antara kerjaya dengan tanggungjawab keluarga.

“Kemerdekaan ekonomi itu juga apabila wanita mampu keluar daripada cengkaman care work, penjagaan atau beban penjagaan itu.

“Boleh pilih untuk teruskan kerja dan bukan keluar dari sektor kerja untuk jaga keluarga, ataupun mereka boleh lagi menjalankan peranan sebagai penjaga tetapi masih menyumbang kepada sektor ekonomi. Barulah kita boleh sebut kemerdekaan ekonomi yang sebenar,” katanya.

Daripada pendapatan kepada autonomi

Kemerdekaan ekonomi wanita akhirnya bukan satu ukuran tunggal.

Pekerjaan penting. Pendapatan penting. Pemilikan aset, akses modal dan peluang membina perniagaan juga penting.

Namun semua pencapaian itu perlu membawa kepada sesuatu yang lebih besar iaitu autonomi.

Wanita yang benar-benar merdeka secara ekonomi bukan sekadar mempunyai wang sendiri, tetapi mempunyai kuasa terhadap wang itu, peluang membina aset, ruang mengembangkan kerjaya dan kebebasan membuat pilihan tanpa kekangan ekonomi menentukan jalan hidup mereka.

 

Must Watch Video

Advertisement