MUKAH: Kerajaan Sarawak akan memberikan insentif atas kejayaan atlet paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin yang merangkul pingat emas dalam sukan angkat berat kategori 228 kilogram sempena Temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Walaupun tanpa menyatakan bentuk insentif Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Johari berkata, ganjaran itu sebagai tanda penghargaan kepada atlet berusia 22 tahun itu.

"Memang saya telah nyatakan waktu saya berjumpa bahawa kita akan beri insentif apabila mereka memangi pingat Emas.. berapa? Wallahualam.. Kerana Kerajaan Pusat juga ada memberi insentif maka kerajaan negeri akan menambah lagi insentif tersebut,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kejayaan Bonnie itu selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) cawangan Mukah pada Sabtu.

Sambil menzahirkan kebanggaan di atas pencapaian Bonnie, Abang Johari berharap ia akan menjadi pemangkin semangat buat para atlet lain dalam acara seterusnya.

"Saya mengucap tahniah kepada saudara Bonnie Bunyau Gustin atlet angkat berat paralimpik kita daripada Sarawak yang telah memenangi pingat Emas.

"Saya ucap tahniah lah kepada beliau dan mudah-mudahan acara lain lagi kita ada juga potensi dalam tiga acara kalau tak silap saya kemungkinanlah untuk mendapat pingat,” katanya.

Sementara itu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah melihat kejayaan merangkul pingat emas itu sebagai satu permulaan yang baik untuk masa depan yang lebih cerah bagi atlet OKU di negeri itu.

Selain insentif, katanya sokongan berterusan dari awal antara azimat yang dihulurkan kerajaan negeri kepada para atlet ketika mereka berjuang di pentas dunia.