SEPANG: Peguam yang mewakili 16 warganegara Malaysia yang diperdaya oleh sindiket perjudian dan penipuan dalam talian di Kemboja, Heng Zhi Li mendedahkan terdapat mangsa yang diseksa oleh sindiket ketika berada di negara itu.

Lebih mengejutkan, ada juga mangsa dikenakan renjatan elektrik oleh suspek.

"Ada... memang ada, (mangsa) direnjat elektrik... ada pakai pistol perenjat elektrik. Ada mangsa dipukul, ada ditampar.

"Gaji mangsa tidak dibayar (oleh sindiket), kebanyakan mereka dijanjikan dibayar gaji AS$1,700 bersamaan RM7,000 sebulan," dedahnya.

Tambah Heng Zhi, kesemua mangsa berusia antara 18 hingga 45 tahun itu tiba di negara terbabit secara berasingan antara September 2021 dan Februari tahun ini.

Ditawar pekerjaan dengan gaji tinggi

Kesemua mangsa pada awalnya, jelas Heng Zhi, ditawarkan bekerja di restoran dan pekerja kontrak oleh syarikat sindiket berkenaan.

"Dalam kes ini, mangsa (kelihatan seperti memiliki) permit yang sah. Mereka (sindiket) sebenarnya telah memalsukan permit bekerja dari Kemboja. Dengan adanya 'permit kerja' itu jadi mereka dapat kelulusan dari negara kita untuk secara sah pergi luar negara untuk bekerja.

"Ejen yang menghubungi mereka ini minta mereka memohon visa sebagai pekerja restoran dan kontrak. Sebenarnya kumpulan sindiket ini cuba berselindung daripada mangsa mengesan aktiviti mereka," katanya lagi.

Bagaimanapun setibanya di sana, jelas Heng Zhi, pasport mangsa dirampas oleh sindiket dan kesemua mereka dikurung di sebuah bangunan seterusnya dipaksa bekerja sebagai ejen perjudian dan penipuan dalam talian.

"Mangsa diminta untuk bekerja sebagai scam caller, seperti gunakan akaun palsu di media sosial dan cuba untuk mencari klien yang berpotensi.

"Mereka cuba dapatkan klien untuk melabur dalam mata wang kripto dan pasaran saham yang palsu, itu antara strategi sindiket itu," katanya.

Dari sudut mangsa pula, tambahnya, mereka tidak dibayar gaji seperti dijanjikan, sebaliknya hanya diberi kad tunai untuk hidup.

"Mula-mula mereka dijanji untuk diberi makanan dan minuman percuma, tapi mereka sampai sana kena bayar sendiri.

"Lepas itu, gaji pun tidak mereka terima. Sindiket hanya salurkan melalui kad tunai. Kad tunai sekarang dirampas majikan. Masa balik, mangsa memang satu sen pun tiada," katanya. 

Mangsa berjaya hubunginya

Menceritakan detik hitam dilalui mangsa itu, ujar Heng Zhi, beliau mula dihubungi salah seorang daripada mereka pada Januari lalu, yang kebetulan merupakan rakan kepada kakaknya.

Bertindak atas maklumat, Heng Zhi dan Pemuda MCA Malaysia telah berhubung dengan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) untuk melaporkan perkara itu.

"Pada 15 Januari lalu, kami dapat hubungi Pemuda MCA untuk berbincang dan dapatkan petunjuk dengan sistem pengesanan global (GPS) bersama gambar... iaitu gambar bangunan yang dihuni mangsa dan nama ejen berkenaan.

"Dari situ, kami dapat kumpul maklumat dan kemudian menyerahkannya kepada MAPO untuk siasatan. Dalam masa dua minggu, kita tanya MAPO dan polis, tentang (kejayaan) operasi selamatkan mereka dari Kemboja," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada Selasa.

Turut hadir bersamanya, Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting.