"Anda ingat saya ada masa untuk sakit kepala?"
Begitulah dialog iklan ubat penahan kesakitan yang kerap ditonton di televisyen saban hari.
Subjek yang diambil iaitu sakit kepala merupakan antara aduan gejala kesihatan yang kerap diterima oleh doktor sama ada di klinik-klinik atau Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital.
Namun, masyarakat kerap tersilap tafsir maksud sakit kepala. Pening kepala, kepala pusing dan rasa mabuk adalah antara frasa yang sering digunakan untuk membawa makna sakit kepala.
Sebenarnya, ia adalah gejala yang mempunyai sebab atau patologi yang berbeza daripada sakit kepala. Masyarakat lebih selesa menyebut 'migraine' apabila merujuk sakit kepala.
Keterangan tentang sakit kepala juga berbeza-beza setiap pesakit. Ada yang memperincikannya umpama batu berat dalam kepala, mencucuk-cucuk dan seperti dihiris-hiris.
Sakit kepala biasanya menyerang ke beberapa posisi kepala. Kawasan sekitar dahi (frontal), belakang kepala (occipital) merebak ke tengkuk, sisi kepala (temporomandubular joint) dan muka.
Sakit kepala ini boleh dirasai di keseluruhan kawasan atau secara bertompok.
Maklumat kawasan sakit kepala ini membantu doktor dalam membuat diagnosa penyakit yang menyebabkan gejala sakit kepala.
Diagnosa untuk permasalahan gejala sakit kepala amat banyak. Diagnosa ringan sehingga diagnosa yang boleh mengancam nyawa.
Pendarahan dalam otak akibat salur pembuluh darah pecah (ruptured AV aneurysm), ketumbuhan dalam otak (brain tumour) dan kecederaan otak akibat kemalangan/hentakan adalah antara penyebab sakit kepala yang mengancam nyawa.
Ia berbahaya kerana adakala ia berlaku pada kali pertama seseorang mengalami sakit kepala.
Konsep bendera merah (red flag) adalah cara mengenal pasti gejala sakit kepala yang serius dan boleh mengancam nyawa.
Berikut adalah gejala sakit kepala yang mempunyai tanda bendera merah (red flag):
1. Sakit kepala umpama halilintar (Thunderclap) – Sakit kepala secara tiba-tiba yang tahap kesakitannya mencapai maksima dalam masa beberapa minit ia bermula. Sakit kepala selepas kemalangan perlukan perhatian segera.
2. Sakit kepala berkaitan perubahan posisi – Contohnya sakit kepala semakin kuat selepas berubah posisi daripada berdiri daripada berbaring.
3. Sakit kepala dimulai tekanan yang meningkat- Contohnya sakit kepala selepas bersin, batuk atau meneran.
4. Sakit kepala baru – Terutama yang berumur melebihi 50an dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi atau mengambil ubat-ubatan mencairkan darah seperti Aspirin dan Warfarin.
5. Perubahan sakit kepala – Iaitu sakit kepala yang lebih kerap berbanding kebiasaan atau perubahan karektor sakit kepala. Contohnya sebelum ini rasa sakit kepala seperti kepala digenggam berubah kepada jenis kesakitan seperti dicucuk-cucuk.
6. Sakit kepala bersama kesan fizikal – Lemah anggota badan, mata kabur, muntah-muntah berterusan dan sawan.
7. Sakit kepala bersama tanda sistemik – Demam, hilang berat badan dan berpeluh di waktu malam.
Adakah ini bermaksud seseorang perlu mendapatkan konsultasi doktor setiap kali diserang gejala sakit kepala?
Tujuh perkara di atas memang memerlukan konsultasi doktor terutama jika tahap kesakitan sangat tinggi dituruti tanda-tanda lemah anggota badan, muntah yang berterusan, tahap kesedaran menurun dan sawan perlu terus ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, hospital berdekatan.
Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira ketika mengalami gejala sakit kepala.
Faktor-faktor berikut mungkin pencentus gejala sakit kepala:
1. Kepanasan atau haba yang terlalu tinggi – Elakkan berjemur. Memakai topi atau payung jika diperlukan.
2. Dehidrasi - Kerap minum air bila mula rasa sedikit dahaga. Mungkin perlu bawa bekal air ke tempat kerja/sekolah.
3. Hypoglycaemia – Gula dalam tubuh rendah. Mungkin akibat diet yang tidak seimbang atau mengelak daripada mengambil makanan.
4. Tekanan/Stres – Biasanya kesakitan di rasa di belakang kepala merebak ke leher. Menangani tekanan dengan bijak mampu mengurangkan kekerapan sakit kepala. Kanak-kanak sekolah pun boleh menunjukkan gejala ini apabila emosi mereka terganggu.
5. Masalah otot – Terutama jika mengangkat beban berat. Adakala duduk terlalu lama, memandu terlalu lama dan menaip menyebabkan otot-otot sekitar bahu kejang dan mendapat manifestasi sakit kepala di bahagian belakang kepala merebak ke bahu.
6. Masalah rabun – Kerap berlaku pada kanak-kanak yang di alam persekolahan. Kordinasi kanta mata untuk mendapatkan penglihatan yang jelas boleh menyebabkan gejala ini. Pemeriksaan oleh Pakar Optometri mampu mengesan masalah ini.
7. Masalah sinus – Sakit kepala akibat radang pada sinus. Biasanya gejala sakit kepala tertumpu di sekitar dahi. Setiap kali selesema atau hidung tersumbat akan diikuti sakit kepala.
8. Masalah migraine – Sakit kepala dicetuskan oleh bahan makanan dan minuman seperti kopi, teh atau coklat. Pesakit mungkin akan nampak aura seperti cahaya sebagai tanda akan diserang sakit kepala. Cahaya pada skrin komputer dan telefon bimbit boleh mencetuskan sakit ini. Biasanya sakit kepala berlaku pada separuh bahagian kepala. Cahaya akan menjadikan sakit kepala semakin buruk. Pesakit lebih suka berada di dalam bilik gelap ketika mendapat serangan ini.
Ramai orang yang tidak mahu mendapatkan konsultasi di klinik atau hospital. Biasanya ketika konsultasi, doktor akan bertanya tentang tanda-tanda bendera merah (red flag) sakit kepala.
Pemeriksaan tekanan darah dilakukan. Tekanan darah yang tinggi bukan petanda yang baik. Saiz anak mata juga akan diperiksa.
Ujian gula dalam darah akan dilakukan jika perlu. Ujian radiologi imbasan CT otak hanya dipohon jika doktor mengesyaki masalah berkait dengan otak.
Secara dasarnya, pemberian ubat penahan kesakitan dan nasihat berkenaan perkara-perkara yang boleh dielak akan diberi.
Rujukan kepada Pakar Perubatan Am, Pakar Neurologi atau Pakar Neurosurgeri akan dilakukan bergantung kepada kes penyebab gejala sakit kepala.
Akhir kalam, nasihat saya adalah orang ramai perlu tahu tanda-tanda bendera merah (red flag) agar pesakit boleh mendapat rawatan dengan segera. Pastikan amalkan gaya hidup sihat.
Pesakit darah tinggi perlu memakan ubat darah tinggi secara berkala. Tangani tekanan/stres dengan bijak. Minum air secukupnya. Kurangkan masa memandang skrin komputer atau telefon bimbit daripada terlalu lama.
Bersenam dan lakukan regangan agar otot-otot badan tidak kejang. Pakai cermin mata jika mengalami rabun dekat atau jauh.
Jika sakit kepala berterusan selepas kemalangan, silalah ke Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital.
Rujukan:
1. Headache “Red Flags”: When to See Your Doctor
Todd J. Schwedt, MD, FAHS, Professor of Neurology, Mayo Clinic, Phoenix, AZ.
2.Headache & Facial Pain. Christoper J Denny, Michael J. Schull, Tintinalli’s Emergency Medicine 7th Edition.
3.Migraine & Cluster Headache – Shirley Ooi, Peter Manning, Guide To The Essentials In Emergency Medicine
* Dr Sazwan Reezal Shamsuddin adalah ahli Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMy).
** Beliau boleh diikuti di Twitter melalui @drwaque untuk membaca informasi-informasi kesihatan.
*** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Dr Sazwan Reezal Shamsuddin
Tue Apr 23 2019
Keterangan tentang sakit kepala juga berbeza-beza setiap pesakit. Ada yang memperincikannya umpama batu berat dalam kepala, mencucuk-cucuk dan seperti dihiris-hiris. - Gambar hiasan
Bangunan baharu MOM di Bukit Jalil diharap jadi motivasi tingkat prestasi atlet - Ahmad Zahid
Beliau berkata pembinaan bangunan baharu itu telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, bagi pihak kerajaan.
Aaron-Wooi Yik Olimpian Tahunan 2024
Ia mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka menyumbang pingat gangsa selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Berakhirnya pemerintahan Baath Syria buka jalan kepada keamanan - Erdogan
Erdogan mengulangi komitmen Turkiye untuk terus menyokong golongan tertindas di seluruh dunia.
Kesan kenaikan cukai import minyak sawit oleh India bersifat sementara - KPK
Kenaikan itu sebahagian daripada usaha India melindungi harga minyak tempatan dan menyokong industri pertanian domestiknya.
Ketiadaan akauntabiliti antarabangsa bolehkan Israel lakukan jenayah terhadap rakyat Palestin - PM Mustafa
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Wakil Khas Kesatuan Eropah untuk Proses Keamanan Asia Barat Sven Koopmans pada Rabu.
Qatar akan buka semula kedutaan di Damsyik selepas 13 tahun
Doha akan membuka semula kedutaannya di Syria tidak lama lagi selepas memuktamadkan pengaturan yang diperlukan.
Pusat Data Bagan Datuk bakal jadi pencetus perubahan ekonomi digital global
Ia bagi menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden dan membuka peluang dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Rusia: Penipu curi puluhan juta dolar melalui pusat panggilan ditahan
Penipu yang mencuri puluhan juta dolar daripada penduduk lebih 20 negara melalui tiga pusat panggilan telah ditahan di Moscow.
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Ada masa untuk sakit kepala?
Diagnosa untuk permasalahan gejala sakit kepala amat banyak. Diagnosa ringan sehingga diagnosa yang boleh mengancam nyawa.