Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

'Ada pengumuman jauh lebih penting, Oktober ini', kata PM

Astro Awani 15/08/2025 | 10:39 MYT
Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu akan diumumkan pada Belanjawan 2026 selain menyampaikan penghargaan kepada pelbagai pihak yang menyumbang kepada kejayaan negara. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: "Ada pengumuman jauh lebih penting, itu pada hari belanjawan Oktober nanti, Insya-Allah," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Jumaat.

Kata beliau, pengumuman itu akan diumumkan pada Belanjawan 2026 selain menyampaikan penghargaan kepada pelbagai pihak yang menyumbang kepada kejayaan negara.

"Jadi, sudah-sudahlah, biar saya rumuskan pada petang ini," tambahnya.

Pengumuman itu diikuti sorakan dan tepukan daripada penjawat awam yang hadir pada majlis tersebut.

Dalam pada itu beliau menegaskan pencapaian dan pengiktirafan yang diraih negara tidak akan tercapai tanpa sumbangan, pengorbanan serta khidmat cemerlang penjawat awam.

"Negara kita tidak akan jadi begini, diiktiraf dan mencatat beberapa kejayaan tanpa sumbangan saudara-saudara. Terima kasih banyak,” ujarnya.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan, kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober 2025.

Kementerian Kewangan akan menyelaras penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dan orang awam untuk mendapatkan input belanjawan selaras dengan keutamaan Ekonomi Madani.

Belanjawan 2026 akan terus menelusuri tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan, terutamanya tatakelola yang baik.

Belanjawan ini juga merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026- 2030 yang terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi Madani itu.




#Kementerian Kewangan #perkhidmatan awam #Perdana Menteri #penjawat awam