MALAYSIA

Ada petunjuk baharu usaha kesan, bawa pulang menantu Muhyiddin - Saifuddin Nasution

Bernama 30/10/2025 | 14:00 MYT
Saifuddin berkata perkembangan terbaharu itu hasil kerjasama antara PDRM dan Polis Antarabangsa (Interpol). - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan petunjuk baharu dalam usaha mengesan dan membawa balik ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkembangan terbaharu itu hasil kerjasama antara PDRM dan Polis Antarabangsa (Interpol).

"Apa yang saya boleh sebut bahawa kerjasama kami dengan pihak Polis Antarabangsa sedang berjalan dan sememangnya kami menemukan beberapa petunjuk baharu.

"Saya tidak mahu jelaskan lebih terperinci sebab itu boleh mengganggu kerja-kerja siasatan tapi kami mengesan beberapa petunjuk baharu yang membantu usaha kami mengesan dan membawa beliau balik," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang masing-masing bertanyakan status usaha mengesan dan membawa balik ahli perniagaan itu yang kini dalam buruan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata notifikasi mengenai individu yang diburu itu sudah berada dalam pengetahuan Interpol dan perkara berkenaan telah disahkan oleh pihak berkuasa antarabangsa itu.

"Saya sendiri telah temui ketuanya (Interpol). Pihak berkuasa kita khususnya polis dalam kes ini menjalankan seluruh usaha mereka dengan memanfaatkan hubungan P2P (Police to Police) dan jaringan Interpol.

"Itu adalah tertib proses bagi tujuan membawa balik mana-mana individu yang dikehendaki untuk berdepan dengan proses undang-undang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan Muhammad Adlan dan seorang peguam Mansoor Saat bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan itu selesai dan kini menunggu tindakan seterusnya.

-- BERNAMA

#Dewan Rakyat #Interpol #PDRM #SPRM