'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM Muhyiddin

Firdaus Azil
Ogos 4, 2021 05:07 MYT
Muhyiddin berkata, pihak berkenaan tak senang hati beliau tegas tidak melayan beberapa tuntutan mereka, termasuk mencampuri urusan mahkamah. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa pihak yang cuba menangguh di air keruh, dan cuba mengambil kesempatan dengan mencetuskan kemelut politik, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan juga tidak senang hati apabila beliau tegas tidak melayan beberapa tuntutan mereka, termasuk mencampuri urusan mahkamah.
Katanya lagi, beliau juga telah dituduh menderhaka kepada Institusi Diraja, sedangkan beliau berkata, apa yang dilakukan adalah berlandaskan undang-undang,
“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya lagi.
[LAPOR LANGSUNG] 'Tiada isu peletakan jawatan' - Muhyiddin
BACA: PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini
[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin | 04 Ogos 2021
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat, dan itu menyebabkan soal perletakan jawatan beliau tidak berbangkit.
Namun, Muhyiddin berkata, satu usul percaya terhadap kepimpinan beliau akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada September nanti bagi menentukan keabsahan dirinya sebagai Perdana Menteri.
UMNO semalam mengambil berpendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat menarik sokongan kepada PN dan Muhyiddin.
Selain itu, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keputusan dan pendirian UMNO.
Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus tabah melaksanakan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik ini.
“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.
“Saya doakan agar rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh Allah S.W.T. dan kepada-Nya jualah kita berserah,” katanya lagi.
#Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #undang-undang #urusan mahkamah #pendakwaan #UMNO #kes mahkamah #Yang di-Pertuan Agong #derhaka #penjawat awam #Zahid Hamidi