KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Jelas Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Alhamdulillah, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,” katanya dalam dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung, pada Rabu.
[LAPOR LANGSUNG] 'Tiada isu peletakan jawatan' - Muhyiddin


Turut hadir dalam perutusan khas tersebut antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Naib Presiden UMNO; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; dan Presiden PBS, Datuk Maximus Ongkili.

Selain itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan PN; dan Timbalan MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Semalam, Perdana Menteri berkata usul membabitkan pembatalan Ordinan-Ordinan darurat akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

LAPOR LANGSUNG PERKEMBANGAN POLITIK NEGARA DI SINI


Katanya, ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat secara harmoni dan berperlembagaan.


[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin | 04 Ogos 2021

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.

Tambahnya lagi, Kerajaan akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut mendedahkan bahawa lapan Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada beliau.

Perkara itu dimaklumkan oleh Seri Paduka Baginda dalam satu warkah kepada Perdana Menteri pada Selasa.

"Di dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai
Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

"Kedua, Perkara 43 (4) iaitu: “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”," tambah Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Perdana Menteri telah dititah menghadap al-Sultan Abdullah pada pukul 11.00
pagi tadi.

Menerusi perutusan khas tersebut, Perdana Menteri turut memohon maaf kerana terpaksa menjelaskan kedudukan Kerajaan PN dan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ketika negara sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik COVID-19.