MALAYSIA
Adabi nafi dakwaan video tular kaitkan pengasas dengan isu penderaan
Syed Mahadzhir menegaskan kandungan video tular yang beredar baru-baru ini adalah palsu, bersifat fitnah serta tidak berlandaskan sebarang fakta yang sahih.
KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar produk makanan terkemuka, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial, mengaitkan pengasas syarikat itu dengan isu penderaan pembantu rumah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Mahadzhir Syed Manshor menegaskan, kandungan video tular yang beredar baru-baru ini adalah palsu, bersifat fitnah serta tidak berlandaskan sebarang fakta yang sahih.
Beliau menjelaskan, kandungan yang tular itu sebenarnya merujuk kepada berita yang disiarkan pada 1 November 2014 yang disiarkan di pautan bhttps://helenang.wordpress.com/2014/11/01/maid-abusers-and-their-most-astounding-saka/.
"Tuduhan ini adalah tidak benar, nama sebenar pengasas Adabi adalah Datuk Syed Manshor," katanya dalam satu perkongsian di Instragram di sini, pada Khamis.
Syed Mahadzhir berpendapat, dakwaan titu diulang semula bagi tujuan mencemarkan nama baik pengasas dan syarikat Adabi.
"Penyebaran semula isu ini secara tidak bertanggungjawab amat dikesali dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," ujarnya.
Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap penyebaran fitnah itu.
Kenyataan itu juga menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu itu.