ADAM50 dihentikan akhir tahun - Zeti

Firdaus Alauddin
Disember 21, 2018 09:37 MYT
ADAM50 dihentikan kerana kurang mendapat sambutan dengan hanya kira-kira 25 peratus daripada bayi yang dilahirkan pada 2018 mendaftar. - Gambar fail
Inisiatif Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) yang diperkenalkan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu akan dihentikan akhir tahun ini.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, keputusan menghentikan skim tersebut dibuat berikutan kurang mendapat sambutan.
Menurut beliau, sejak dilancarkan 1 Januari lalu, hanya 25 peratus bayi yang dilahirkan sepanjang tahun ini mendaftar dengan program ini.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta untuk program ini di mana dana itu telah digunakan sepenuhnya.
"Memandangkan kedudukan kewangan kerjaan semasa perlu dikuhkan, ia tidak dapat memperuntukkan dana tambahan," kata beliau pada sidang akhbar selepas mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional pada Jumaat.
ADAM50 merupakan program yang diperkenalkan kerajaan terdahulu dengan kerjasama PNB untuk semua bayi warganegara malaysia yang lahir dalam tempoh 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.
Dengan dana tabungan permulaan sebanyak RM200 untuk ADAM50, program ini bermatlamat menggalakkan budaya menyimpan dan pelaburan oleh rakyat Malaysia daripada usia seawal baru dilahirkan.
#ADAM50 #barisa nasional #PNB #Zeti Akhtar Aziz