Skip to main content

Malaysia

Adaptasi AI, pengurusan teknologi maklumat pastikan kelancaran operasi haji 1447H/2026

Pengurus Operasi Teknologi Maklumat TH, Shamsul Kamal Hussein Kamal. cred Tabung Haji
Shamsul Kamal (foto) berkata operasi IT memainkan peranan kritikal dalam memastikan semua sistem, perisian, infrastruktur serta rangkaian siap sepenuhnya sebelum ketibaan petugas dan jemaah haji Malaysia. -Foto Tabung Haji

MEKAH: Di sebalik kelancaran setiap pergerakan jemaah, keberkesanan sistem bimbingan dan kecekapan pengurusan di Tanah Suci, terdapat satu pasukan yang bekerja paling awal tiba dan paling akhir pulang, iaitu pasukan Teknologi Maklumat (IT) Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengurus Operasi Teknologi Maklumat TH, Shamsul Kamal Hussein Kamal, berkata operasi IT memainkan peranan kritikal dalam memastikan semua sistem, perisian, infrastruktur serta rangkaian siap sepenuhnya sebelum ketibaan petugas dan jemaah haji Malaysia.

Advertisement

“Tanggungjawab utama kami adalah memastikan semua sistem, peralatan dan rangkaian berada dalam keadaan siap guna sebelum petugas tiba. 

"Selepas petugas dan jemaah berada di Tanah Suci pula, tugas kami adalah memberi sokongan berterusan agar semua sistem berfungsi dengan baik bagi membantu jemaah,” katanya ketika ditemu bual di sini.

Menurut beliau, pasukan IT bukan sahaja menyokong operasi di Tanah Suci, malah turut menjadi penghubung kepada keperluan di tanah air dengan menyalurkan maklumat dan bantuan teknikal dari sini.

Shamsul Kamal menjelaskan cabaran utama operasi IT ialah tempoh tugasan yang panjang, apabila pasukan terlibat merupakan kumpulan terawal tiba dan terakhir meninggalkan Tanah Suci.

“Kebiasaannya pasukan IT akan berada di sini lebih daripada 60 hari, melebihi dua bulan. Itu sendiri merupakan satu cabaran besar dari sudut operasi dan pengurusan pasukan,” katanya.

Image
 Pengurus Operasi Teknologi Maklumat TH, Shamsul Kamal Hussein Kamal. cred Tabung Haji

Selain itu, beliau berkata tempoh persediaan yang sangat singkat turut menjadi cabaran, memandangkan kehadiran pasukan IT bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Biasanya kelulusan hanya diperoleh kira-kira seminggu sebelum jemaah tiba. Dalam tempoh singkat itulah semua persiapan perlu disiapkan.

“Alhamdulillah, walaupun masa suntuk, persiapan IT tahun ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Shamsul Kamal berkata cabaran operasi IT tahun ini turut meningkat dengan penggunaan beberapa bangunan baharu di Mekah dan Madinah, yang memerlukan persiapan infrastruktur dari peringkat awal.

“Untuk bangunan baharu, bukan sekadar memastikan sistem boleh berjalan, tetapi infrastruktur perlu dibangunkan terlebih dahulu. Ini memerlukan perancangan dan tindakan lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Bagi memastikan operasi berjalan lancar, TH memilih gabungan pasukan IT berpengalaman serta tenaga baharu, sebagai langkah penambahbaikan berterusan.

“Kita seimbangkan antara petugas berpengalaman dan pasukan baharu supaya pengetahuan dapat dipindahkan dan operasi lebih mantap,” katanya.

Mengulas persekitaran operasi yang sentiasa berubah, Shamsul Kamal berkata pasukan IT perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi luar jangka, termasuk perubahan prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan Arab Saudi.

“Cabaran di Tanah Suci berbeza setiap tahun, dengan SOP dan keperluan baharu. Pasukan IT perlu sentiasa bersedia, fleksibel dan pantas menyesuaikan diri,” katanya.

Seiring peralihan ke era digital, beliau berkata banyak proses operasi haji kini diautomasi dan ditambah baik, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong sistem bimbingan ibadah.

 

Must Watch Video