Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan sepasang suami isteri yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran pada Jun lepas.

Suspek yang ditahan reman itu merupakan adik ipar Nazrin dan suaminya.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan oleh peguam pasangan suami isteri tersebut terhadap perintah reman selama empat hari yang dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya Hairul Azhar Mohd Ishak pada Isnin lepas.

Tempoh tahanan reman pasangan berusia 39 dan 41 tahun itu sepatutnya berakhir esok.

Hakim Ab Karim ketika membuat keputusan itu menyifatkan tempoh tahanan reman selama empat hari terhadap kedua-dua individu berkenaan adalah terlalu lama dan pihak polis tidak memberi alasan yang kukuh untuk menahan mereka.

"Untuk menahan reman selama itu perlu alasan yang sangat relevan, kena ada asas yangn kukuh. Sebarang tindakan lanjut seperti dalam alasan yang diberikan pihak polis untuk menahan reman kedua-dua mereka boleh dibuat tanpa kehadiran suspek.

"Sehubungan itu, permohonan semakan terhadap perintah tahanan reman yang dikeluarkan oleh (penolong) pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya disemak dan kedua-dua mereka diperintah untuk dilepaskan selepas waktu kerja pada 5 petang ini," katanya.

Terdahulu, peguam LS Leonard yang mewakili pasangan suami isteri itu berhujah bahawa tiada keperluan untuk kedua-dua anak guamnya ditahan reman memandangkan mereka telah memberi kerjasama yang baik selain percakapan mereka telah dirakam oleh pihak polis.

"Antara alasan diberikan pihak polis untuk menahan reman anak-anak guam saya ialah bagi menyiasat sama ada mereka bertanggungjawab menyebarkan mesej yang menyatakan punca kematian Nazrin disebabkan telefon bimbit meletup sedangkan polis tahu bukan mereka yang melakukannya," katanya yang turut dibantu peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli pula berhujah keputusan Mahkamah Majistret untuk memberikan reman selama empat hari ke atas pasangan suami isteri itu adalah sah selaras dengan peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata semasa peringkat permohonan reman di hadapan penolong pendaftar, pasangan suami isteri itu diwakili barisan peguam yang sama dan segala hujahan serta fakta dikemukakan di Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan itu telahpun dikemukakan ketika permohonan reman tersebut.

Maka katanya, penolong pendaftar telah membuat penilaian menyeluruh sebelum memberikan perintah reman selama empat hari.

Sebelum ini, isteri Nazrin dan bekas suaminya serta dua anak tiri mangsa turut ditahan reman bagi membantu siasatan.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, kira-kira 12.20 tengah hari, 14 Jun lalu.

-- BERNAMA