MERBOK: Seorang wanita warga emas maut manakala kakaknya parah dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Kampung Bujang, Merbok, pada Isnin.

Mangsa, Rohani Mansor, 62, berasal dari Kampung Langgar Mukim Bujang maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala kakaknya Siti Asiah Mansor, 69, cedera pada bahagian dalam badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, dalam kejadian pukul 8.05 pagi itu mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave bersama kakaknya sedang bergerak dari arah Segantang Garam ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok.

“Turut bergerak di laluan sama sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Avantis yang ditunggang seorang lelaki berusia 45 tahun.

“Tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun sedang bergerak dari arah MRSM Merbok menghala ke Segantang Garam.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Vios itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh dua buah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, akibat rempuhan kuat itu mangsa tercampak ke kiri jalan dan maut di tempat kejadian manakala kakaknya parah.

Sementara seorang lagi penunggang motosikal mengalami patah tangan kiri dan kanan.

Katanya, jasad mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

Manakala dua lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.