Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor berjaya merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dengan anggaran nilai rampasan RM42 ribu.

Rampasan dibuat dalam serbuan di lima lokasi berbeza sekitar Johor Bahru pada Khamis lalu.

Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata tindakan itu dibuat selepas pihak pengeluar susu berkenaan mendapat aduan dari pembeli yang berkata bayinya telah mengalami muntah teruk selepas menggunakan susu terbabit pada Ogos lalu.

Katanya, hasil pemantauan KPDNKK bersama pihak pengeluar selama empat bulan mendapati tiga daripada lima premis itu menjual susu yang disyaki tiruan pada harga asal lebih 200 ringgit setiap kotak.

Pemilik premis terbabit mendakwa tidak sedar susu yang dijual adalah susu tiruan dan telah mencampurkan kotak susu disyaki tiruan dengan kotak susu asli di rak jualan.

"Pihak KPDNKK Johor masih berusaha bersama pihak pengadu bagi jenama produk ini untuk mengenal pasti sumber pengeluar dan pengedar produk tiruan ini.

“Hasil siasatan awal mendapati invois yang ditemui di premis yang diambil tindakan menggunakan nama dan alamat syarikat palsu bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Dengan kejayaan ini pihak KPDNKK percaya dapat melumpuhkan aktiviti penjualan dan pengedaran produk susu tiruan ini," katanya pada sidang media operasi produk tiruan di setor KPDNKK, Senai hari ini.

Khair Anwar berkata pihaknya telah meminta sampel susu asli dari pihak pengeluar untuk ujian kimia bagi membezakan kandungan dengan susu disyaki tiruan.

Katanya pihak KPDNKK akan terus menjalankan operasi sama ke premis lain seluruh negeri itu kerana produk disyaki tiruan ini merbahaya kepada kesihatan pengguna yang terdiri daripada bayi berusia sehari hingga 12 bulan.

Kesemua barangan rampasan disita dibawah seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.

Bagi kesalahan yang dilakukan membabitkan produk tiruan boleh dikenakan denda RM10 ribu bagi setiap perihal dagangan yang dipamerkan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan untuk kesalahan kali pertama.

Bagi kesalahan kali kedua, boleh dikenakan denda RM20 ribu ringgit atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.