Skip to main content

Malaysia

Aduan terhadap warga polis Kelantan meningkat kepada 330

Mohd Yusoff berkata, peningkatan sebanyak 106 aduan itu perlu dijadikan peringatan kepada seluruh warga pasukan, supaya sentiasa mematuhi peraturan, menjaga disiplin dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti.
Mohd Yusoff berkata, peningkatan sebanyak 106 aduan itu perlu dijadikan peringatan kepada seluruh warga pasukan, supaya sentiasa mematuhi peraturan, menjaga disiplin dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti.

Advertisement

KOTA BHARU: Jumlah aduan yang direkodkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kelantan, meningkat kepada 330 pada 2026 berbanding 224 pada 2025.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, peningkatan sebanyak 106 aduan itu perlu dijadikan peringatan kepada seluruh warga pasukan, supaya sentiasa mematuhi peraturan, menjaga disiplin dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti.

Beliau berkata, statistik JIPS turut menunjukkan sebanyak 75 Kertas Siasatan Tatatertib direkodkan pada kedua-dua tahun, manakala Kertas Enkuiri Tatatertib menurun daripada 24 kes pada 2025 kepada 11 kes pada 2026.

“Angka ini perlu dijadikan peringatan bahawa pematuhan peraturan, disiplin dan integriti tidak boleh dipandang ringan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kelantan bagi Oktober 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, JIPS perlu terus memperkukuh pemantauan, memastikan setiap aduan ditangani secara profesional dan adil serta meningkatkan usaha pencegahan supaya setiap warga pasukan sentiasa berpegang teguh pada etika dan amanah perkhidmatan.

Mohd Yusoff turut menegaskan bahawa integriti bukan pilihan, disiplin bukan beban dan akauntabiliti bukan sekadar prosedur dalam pelaksanaan tugas kepolisan.

Beliau berkata, pangkat memberikan kuasa, namun integriti mencerminkan kewibawaan dan maruah seseorang anggota.

Mohd Yudof berkata, salah laku seorang pegawai atau anggota, berupaya membayangi jasa serta pengorbanan ribuan warga pasukan, sekali gus menuntut setiap anggota melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan profesionalisme.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement