ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek Datuk Mohd Isa Shafie, meninggal dunia pada jam 11.23 malam tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Perkhabaran sedih itu dikongsikan Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Ahmad Yahaya di laman sosial Facebook miliknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

"Menerima berita bahawa Almarhum Datuk telah kembali ke rahmatullah pada jam 11.23 malam tadi di HSAH, Sungai Petani,

"Semoga Allah menerima segala amal jihad Almarhum dan dikumpulkan bersama para solihin," katanya.

Berita sedih berkenaan turut dikongsikan Menteri Besar Kedah yang juga Yang Dipertua (YDP) Pas Sik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Awal Mei lalu, Mohd Isa, 69 tahun, dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi HSAH.

Menurut Timbalan YDP Pas Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, Mohd Isa dimasukkan ke Hospital Sik sebelum dibawa ke HSAH kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Allahyarham yang merupakan ADUN Belantik selama tiga penggal menewaskan calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan majoriti 2,574 undi.