Skip to main content

Malaysia

ADUN Duyong sasar agih 300 kit makanan sehari sepanjang Ramadan

MELAKA, 22 Feb -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (dua, kanan) menyantuni peniaga pada Program Penyerahan Lesen Niaga Bazar Ramadan di Taman Semabok Perdana di sini, lewat petang tadi.  --fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA
Mohd Noor Helmy (dua, kanan) menyantuni peniaga pada Program Penyerahan Lesen Niaga Bazar Ramadan di Taman Semabok Perdana, pada Ahad. - Gambar Bernama

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menyasarkan untuk mengagih 300 kit makanan sepanjang Ramadan menerusi Program Ziarah Kasih bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, inisiatif itu menumpukan kepada golongan yang mungkin terlepas pandang sebelum ini, selain memastikan tiada penduduk di kawasannya tercicir daripada menerima bantuan.

Advertisement

“Ziarah Kasih ini antara program utama dilaksanakan di DUN Duyong sempena Ramadan dengan kerjasama pelbagai agensi.

"Pada masa sama, persiapan awal bagi sambutan Aidilfitri termasuk penganjuran rumah terbuka di peringkat DUN turut digerakkan susulan peningkatan kehadiran pengunjung saban tahun," katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Lesen Niaga Bazar Ramadan kepada peniaga di Taman Semabok Perdana di sini hari ini.

Mohd Noor Helmy berkata pihaknya menerima kehadiran kira-kira 13,000 orang pada tahun pertama penganjuran rumah terbuka itu, sebelum meningkat kepada 24,000 orang pada tahun kedua dan mencecah 50,000 orang tahun lepas.

Peningkatan konsisten itu, katanya memperlihatkan DUN Duyong terus tampil dengan pendekatan berbeza dalam penganjuran program kemasyarakatan, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 270 tapak bazar Ramadan disediakan di tiga lokasi di DUN Duyong melibatkan masing-masing 110 tapak di Taman Semabok Perdana dan Taman Seri Duyong manakala Bukit Serindit 50 tapak.

Mohd Noor Helmy berkata penganjuran bazar berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peniaga tetap, tetapi juga membuka ruang kepada peniaga harian serta individu yang mencari rezeki tambahan termasuk mereka yang hanya berniaga secara bermusim sepanjang Ramadan.

“Tinjauan dan maklum balas daripada beberapa peniaga mendapati kebanyakan mereka berpuas hati apabila jualan harian habis terjual, sekali gus menunjukkan sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung,” katanya.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video